Dari terminal bas Probolinggo, saya meneruskan perjalanan menuju ke bandar seterusnya iaitu bandar Malang. Perjalanan dengan bas kalau mengikut maklumat risikan di internet seharusnya dalam 2 jam sahaja untuk tiba di Malang. Namun saya hanya tiba di bandar Malang hanya hampir 4 jam perjalanan dengan bas. Rupa-rupanya, saya telah menaiki bas ‘berhenti-henti’ yang sesuai dengan namanya yang memang akan berhenti untuk menurunkan dan mengambil penumpang di setiap perhentian yg ada sepanjang jalan dari Probolinggo ke Malang. Patutlah harga tiket nya agak murah, hanya dalam RM 6 sahaja.

Bas memang tiada aircond, hanya ‘aircond’ semulajadi dari alam sekitar sahaja. Mujurlah cuaca tidak berapa panas dan ketika hampir tiba di bandar Malang, hujan juga turut turun membasahi bumi Jawa ini. Sepanjang perjalanan, saya hanya melayan pemandangan di luar tingkap bas, melihat aktiviti dan kehidupan masyarakat setempat di sepanjang jalan. Fikiran jauh melayang. Sesekali bayangan kehidupan masyarakat di Malaysia di tanah air menerjah benak fikiran. Nyata ianya jauh lebih baik, kerana walaupun kita memandu di kawasan atau laluan di kampung-kampung terpencil di Malaysia, keadaan nya tidaklah sama dengan keadaan di Jawa ini. Ianya jauh lebih baik.
Sepanjang 4 jam perjalanan, saya kira ada tujuh kali seniman jalanan yang naik ke dalam bas untuk melakukan persembahan atau busking yang kebayakkan nya mengalunkan nyanyian lagu-lagu tempatan sebelum datang kepada setiap penumpang untuk sedikit derma ikhlas, dan mereka biasanya akan turun di hentian yang seterusnya. Begitu juga dengan penjual makanan ringan, kerepek atau jajan yang akan naik ke bas di setiap hentian. Naik sahaja, penjual akan terus meletakkan barang jualan di riba kita. Jika tidak mahu, biarkan sahaja, tidak mengapa. Mereka akan mengutip semula selepas semua barang selesai diletakkan ke penumpang bas dari hadapan hingga ke belakang. Begitulah ianya berulang, di setiap kali hentian. Hanya mampu memerhatikan sahaja. Kiranya, ia antara salah satu cara penduduk tempatan mencari sumber pendapatan.

Dalam hujan renyai, bas yang dinaiki akhirnya tiba di stesen bas bandar Malang. Tiba di stesen, saya menuju ke surau untuk menunaikan solat jamak yang masih tertangguh. Selesai sahaja, saya terus menaiki ojek menuju ke homestay yang telah ditempah semalam. Kali ini saya menginap di Angler Guest House yang terletak di Jalan Simpang Ijen, berdekatan dengan kampus Universiti Muhammadiah, Malang.
Guest house ini memang menarik, bersih dan berpatutan dengan harganya. Harganya dalam RM70 semalam termasuk bfast, dan apa yang menarik, ianya memang terletak di kawasan yg agak ‘meriah’ , terutamanya jumlah kedai-kedai makan, cafe dan restaurant yang merata di sini. Kebanyakkan nya berkonsepkan trend cafe terkini. Mungkin untuk menarik minat pelajar-pelajar yang ramai tinggal di kawasan sekitar. Usai urusan check-in & membersihkan diri, saya terus book dengan receptionist untuk menyewa motor untuk sehari bermula esok pagi. Mujurlah ada. Pihak homestay uruskan, dan harga sewa untuk 24 jam adalah IDR 80,000 (RM 26) bermula jam 8 pagi esok hari. Malam nya saya hanya berjalan di kawasan sekitar, dan makan di kedai makan berdekatan. Okeh juga rasanya, mungkin tekak dah boleh disesuaikan dengan masakan Jawa kut..hehe.

Esok pagi, usai breakfast di hotel dan mengambil kunci motor dari abam homestay, saya terus memacu motor perlahan menuju ke stesen keretapi Malang sambil mengambil udara segar pagi di tanah jawa ini. Tujuan adalah untuk membeli tiket keretapi menuju ke Yogyakarta untuk perjalanan esok hari. Keadaan sekitar agak sibuk dengan kenderaan dan motor setibanya di stesen keretapi. Masing-masing dengan urusan harian, berkejar ke sana sini. Parking motor, terus sahaja menuju ke kaunter tiket. Nampaknya masih awal, kerana kauter hanya dibuka pada jam 9 pagi. Masih ada 40 minit lagi. Saya keluar kembali dari stesen, dan terus memacu motor ke Kampung Warna Warni Jodipan, yang terletak kurang 1 km dari stesen keretapi tadi. Unik kawasan kampung ini, kesemua rumahnya dicat dengan pelbagai warna. Saya tidak masuk ke kampung tersebut, sekadar melihat keindahan landskap nya dari jambatan berdekatan dan mengambil beberapa keping gambar sebagai kenangan. Kreatif masyarakat nya, konsep tambah nilai kepada fasiliti yang sedia ada dan akhirnya berjaya menarik ramai pengunjung untuk datang ke SINI.



Hampir jam 9 pagi, saya kembali ke stesen keretapi untuk membeli tiket. Kelihatan tidak ramai yang beratur, namun seolah ada nombor giliran di papan elektronik. Terus ke kaunter bertanyakan status tiket. Rupaya kepada sesiapa yang ingin membeli tiket, perlu isi borang di suatu sudut yang disediakan (macam isi borang nak masuk duit kat bank di Malaysia laa plak), dan kemudian mengambil no. giliran di mesin. Bila nombor giliran muncul, barulah boleh ke kaunter untuk berurusan. Pengalaman baru!

Setelah berjaya membeli tiket keretapi ke Yogyakarta, saya meneruskan perjalanan dengan motor ke pekan terdekat, iaitu pekan Batu. Memang jalanraya di Malang, atau di mana-mana bandar di Indonesia pun akan sentiasa penuh dengan kenderaan. Rata-ratanya adalah motosikal. Walaupun terlalu banyak motorsikal di jalan, tetapi amat jarang kelihatan eksiden yang berlaku. Ini kerana, walaupun banyak tetapi rata-ratanya dipandu dengan perlahan, dan sentiasa menggunakan hon untuk membuatkan pembonceng yang lain tahu akan kehadiran mereka. Walau begitu, perlu sentiasa berhati-hati terutama bila menukar ‘lane’ samada ke kiri atau kenan. Kena pastikan terlebih dahulu tiada motor lain yang berada di sisi. Jadi penggunaan cermin pandang belakang amat-amatlah penting. Tapi jangan risau, sebenarnya memandu motorsikal di Indonesia tidaklah serumit yang di sangka. Bila sudah biasa dengan persekitaran sekeliling, ianya mudah sahaja. Seperti juga di tempat-tempat lain.

Lebih kurang sejam 20 minit mengharungi jalan-jalan di daerah Malang ini, saya akhirnya tiba di pekan Batu. Oleh kerana waktu itu sudah pun tengah hari, saya terus sahaja singgah di sebuah restoran yang diberi nama Pupuk Bawang. Kelihatan hiasan dari luar restoran ini agak menarik, dengan lokasi nya yang terletak betul-betul bersebelahan dengan sawah padi. Tempat makan pula terbahagi kepada dua, iaitu di bahagian dalam, dan dikawasan terbuka di luar.



Pasti laah lepak di luar lebih menarik sambil menikmati keindahan sawah padi yang menghijau dan juga gunung ganang yang terbentang. Ianya pemandangan yg indah sekali. Sambil makan, kelihatan susuk tubuh manusia berterbangan di udara dari jauh. Rupanya ada tempat sukan paragliding di kawasan berdekatan. Tempat tersebut dikenali sebagai Paralayang. Kiranya antara tempat rekreasi terkenal di Batu ini.



Selesai makan, saya teruskan perjalanan menuju ke Paralayang. Perjalanan ke sana memakan masa 30 minit dengan motor. Keadaan jalan nya bagus juga, kecuali bila hampir tiba ke Gunung Banyak, di mana terletaknya tempat Paralayang ini jalanraya banyak yang rosak dan pecah-pecah serta berlubang. Perlu berhati hati dan memandu perlahan bila tiba di kawasan ini. Namun ianya tidak menggugat semangat untuk tiba ke puncak kerana pemandangan sepanjang perjalanan ke atas amatlah menarik dan udara sekitar pun segar dan dingin. Tiba di pintu masuk, perlu membayar IDR5,000 utuk masuk dan parking motor di tempat yang disediakan. Dari situ, terus sahaja berjalan kaki melewati kedai-kedai jualan dan tempat2 makan bersila (lesehan) yang ada di situ. Dari sini sudah dapat kelihatan keindahan kota Batu yang indah berlatarbelakangkan gunung-gunung tinggi dan awan memutih.






Antara aktiviti yang terkenal di sini ialah Paragliding (atau orang tempatan panggil Paralayang). Jika sudah biasa, boleh sahaja sewa kelengkapan dan terjun sendiri. Tetapi jika tidak biasa, boleh sahaja buat para-gliding dengan bantuan pengemudi pro mereka yang memang ada di sini. Harga sekali penerjunanan dalam IDR 400,000 (kalau tak silap lah..). Saya sekadar berehat, mengambil gambar dan menikmati keindahan dari puncak Gunung Banyak ini. Sambil-sambil melihat telatah Paraglider yang membuat terjunan di sini. Menarik.

Setelah beberapa ketika di situ, saya menuju ke tempat menarik berdekatan, yang dikenali sebagai Omah Kayu. Di sini, rumah2 kecil daripada kayu dibina di atas pohon-pohon pinus yang besar dan yang tumbuh dilereng-lereng Gunung Banyak ini. Memang menarik, bila dapat berada di atas platform salah sebuah rumah kayu ini, dan dapat mengambil gambar berlatarbelakang kan Kota Batu. Kawasan nya memang redup dan udaranya memang segar.


Ada 6 buah rumah kayu yang disediakan untuk di sewa kepada mereka yang berminat untuk bermalam di sini. Kemudahan asas seperti toilet, bilik mandi juga ada di sediakan. Selain rumah, ada juga pokok yang di bina platform-platform daripada kayu, menjadikan ianya spot untuk bergambar yang menarik. Di samping itu, ada juga photo spot yang di sediakan siap dengan ‘Hammock’ pelbagai warna. Sedikit bayaran di kenakan untuk naik ke ‘Hammock’ dan bergambar di situ.





Setelah puas berada di situ, saya meneruskan perjalanan kembali semula ke kota Malang. Dalam perjalanan pulang, melalui laluan yang sama di mana terletaknya tempat tarikan lain seperti Batu Spectacular dan juga Muzium Angkut.



Tiba di kota Malang setelah hari hampir gelap. Setibanya di hostel, terus sahaja membersihkan diri (kuyup dibasahi hujan sewaktu hampir tiba di kota Malang). Selepas Isyak, malamnya saya sekadar keluar mencari tempat makan dan menejelajah di kawasan sekitar sahaja. Singgah di satu cafe yang menarik juga, yang menyediakan kopi dan makanan western seperti spaghetti dan lain2. Saya pesan spaghetti tuna yang extra pedas (lama plak tak merasa pedas), dan kesudahan nya memang berpeluh nak habiskan kerana memang pedas betul lah. Nyah apa cili yang ditaruk dalam masakan tuh, mujurlah sedap. Habis juga. Kemudian saya kembali semula ke Guesthouse untuk rehat memandangkan esok akan mengharungi satu lagi perjalanan panjang menuju ke Yogyakarta.


assalamualaikum sy bcadang nak ke kota malang dan batu secara backpack bersama en suami. nak tanya klo naik flight, ke mana ya? surabaya ke ?
Wsalam. Betul puan, kalau naik flight boleh turun di Surabaya…
Asaalam , boleh tanya . Bus dari malamg ke surabaya ada kan ?
Wsalam. Ye, ada…setiap 15 minit rasanya kalau tak silap.