Kembara MALDIVES | Maafushi Island – Part 2

Hari kedua di Maafushi, seawal pagi kelular berjalan-jelan sekitar kawasan kampong. Di pulau ini ada dua buah masjid yang sederhana saiznya, untuk menampung solat berjemaah penduduk asal di sini dan juga pelancong yang datang berkunjung ke sini. Saya berjalan terus menuju ke tepian pantai. Keadaan sekitar masih lengang, namun ada juga beberapa pengunjung yang agak berumur berjalan di kawasan sekitar mengambil angin pagi.  Selesai jalan-jalan di sekitar kampung sambil menyaksikan aktiviti penduduk tempatan di waktu pagi, kami kembali ke hotel untuk sarapan. Pagi ni kami bersarapan dengan masakan local Maldives. Okey juga rasanya, dan pilihan makanan yang ada pun boleh tahan juga.

20161104_050302
Suasana dalam masjid
_DSC4928
Masjid di Maafushi

Selesai makan, terus ke pantai semula, bawa anak-anak main air. Sebelum itu, saya sempat menempah pakej untuk melihat dolphin liar di pulau sekitar Maafushi, dan juga ke sandbank berdekatan pada petang selepas asar nanti. Selepas itu, kebanyakan masa hanya berada di pantai melayan kerenah anak-anak sambil menikmati keindahan pantai yang memutih dan air yang biru jernih di Lautan Hindi ini.

_DSC4947
Jalan-jalan sekitar jeti Maafushi
_DSC4986
Mandi jer laa kerjanya kalau air pun dah jernih macam ni

Petangnya, sebagaimana yang dirancang, kami sekeluarga bertolak ke kawasan laut terbuka dalam 2km dari pantai untuk melihat dolphin liar. Walaupun pada mulanya, susah juga nak jumpa lokasi tempat dolphin ni bermain, tetapi dengan pengalaman driver boat dan guider yang bawa kami, akhirnya kami jumpa juga tempat kawanan dolphin yang asyik melompat dan bermain sesame  mereka. Perasaan ketika itu memang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata, memang teruja. Pertama kali lihat dolphin liar secara dekat.

20161104_112552
air yang membiru

Driver boat memperlahankan boat dan membiarkan boat sekadar meluncur perlahan bila sampai di lokasi dolphin. Dan pada ketika inilah, kelihatan banyak dolphin yang begitu jinak, berenang begitu hampir dengan boat yang kami naiki. Memang menarik sekali, seakan kami berenang bersama-sama dengan mereka, malaupun hakikatnya kami hanya menyusur bersama dari atas boat. Memang suatu pengalaman yang mengasyikkan.

20161103_172842
Bergambar bersama driver boat + guider + photographer

Selepas puas melihat gelagat dolphin, kami dibawa ke sandbank (pulau kecil yang hanya ada timbunan pasir di tengah-tengah lautan luas) untuk menikmati sunset. Perasaan teruja dan terpegun dengan keindahan lanskap di sandbank menerjah perasaan setibanya kami di sana. Ianya memang mirip gambar-gambar yang biasa dilihat di internet, dengan tompokan pasir memutih yang membentuk pulau kecil di tengah lautan luas yang membiru, juga air laut yang jernih menghempas perlahan ditepian pantai melengkapkan unsur penting sebuah lanskap pulau yang indah. Damai terasa.

20161104_111914
Inilah sandbank yang saya maksudkan! Cantik kan…
20161103_172756
Sunset di sandbank

Anak-anak sibuk bermain dengan pasir, ntah apa yang dibina. Takpelah, janji gembira. Saya seperti biasa, mencari tempat sesuai untuk memasang tripod Godzilla kecil yang dibawa bersama kamera DSLR D610. Sempat merakam beberapa suasana indah sunset, sebelum membiarkan kamera untuk ‘bekerja’ sendiri merakam ratusan gambar yang akan di jadikan video ‘timelapse’ kemudian nanti.

_DSC5041_1
Sunset yang indah di sandbank Maldives

Kami dibekalkan dengan sandwich tuna dan coke, yang dibawa bersama dalam icebox (termasuk sekali dalam harga pakej). Menarik juga pakej ni, siap ada makan lagi. Memang santai, sambil borak-borak dengan guider, menikmati keindahan matahari terbenam dari tengah lautan, juga sambil menikmati sandwich yang sedap amat! Memang antara moment yang best dan perlu dilalui jika sampai ke Maldives.

20161103_172821
Bergambar dahulu sebelum senja

Kami kembali ke pulau Maafushi bila matahari sudah tenggelam dan suasan sekitar pun mula gelap. Perjalanan dari sandbank ke pulau Maafushi hanya mengambil masa 15 minit dengan speedboat. Tiba di sana, kami berjalan perlahan kembali ke hotel, dengan perasaan puas walaupun kepenatan terutama anak-anak. Selesai membersihkan diri, solat dan rehat seketika, kami keluar semula untuk makan malam di restoran berdekatan.

Di sini kebanyakan restoran menghidangkan hidangan berbentuk buffet, biasanya dalam USD8 untuk seorang dan kanak-kanak dikenakan separuh harga. Boleh lah makan apa yang ada, kebiasaanya makanan laut yang di bakar, nasi goreng, pasta, mee buahan dan lain-lain. Selesai makan kami kembali semula ke hotel untuk rehat dan tidur.

_DSC4917
Sunset dari pulau Maafushi

Hari ketiga di Maafushi,  bawa anak-anak layan playground yang ada berdekatan dengan pantai tempat yang biasa kami pergi. Samasa jalan-jalan, ada ternampak pakej snorkeling untuk melihat penyu di kawasan yang dinamakan ‘Turtle Reef’. Terus bertanyakan pakej operator, dan kebetulan memang ada trip yang akan bertolak ke Turtle Reef dalam masa setengah jam lagi. Saya terus sahaja mendaftar nama, dan menyertai trip yang ada bersama Faheem. Wife dan 2 anak perempuan yang masih kecil tidak ikut serta, sambung lagi bermain dan mandi di pantai.

20161105_074750
Breakfast di hotel sebelum keluar melakukan aktiviti
G0358795
Aktiviti snorkeling bersama anak lelaki

Kali ini kami berdua menaiki speed boat menuju ke lokasi snorkeling, dalam 15 minit perjalanan. Tiba di lokasi, memang Nampak ada beberapa speedboat yang sedang standby menunggu pengunjung yang mereka bawa yg sedang snorkeling di situ. Turun sahaja ke air, saya dengan Faheem berenang perlahan, sambil menikmati keindahan terumbu karang (walaupun banyak yang dah mati) dan ikan-ikan yang pelbagai warna yang bermain-main dicelah-celah terumbu karang yang ada.

G0358792
Pertama kali snorkeling jauh dari tepian pantai

Mujurlah, dapat juga bertemu dengan seekor penyu liar yang sedang berenang. Itupun guider kami yang nampak dan terus memberitahu kami untuk datang ketengah sedikit untuk melihat penyu tersebut. Di sini, guider yang bawa kami memang sempoi dan suka merakam gambar underwater dengan GoPRo yang memang mereka bawa bersama. Jadi, takperlu nak bawa underwater camera sendiri, hanya perlu bergaya buat aksi untuk bergambar sahaja. Nanti guider yang akan rakam kan, haha. Lebih sejam di Turtle Reef, kami kembali ke pulau Maafushi. Sebelum itu, boat singgah seketika di sandbank (semalam dah datang, tapi itu dari pakej yang berbeza), so sekali lagi kami layan sandbank hari ni. Cuma kali ini, bukan waktu sunset ler, waktu tengah hari panas dan berhenti pun tidak lama seperti semalam. Tiba kembali di pulau, saya memberikan SD card saya kepada guider tadi untuk memasukkan semua gambar-gambar dan rakaman video semasa snorkeling tadi untuk di simpan sebagai bukti dan kenangan. Haha.

G0308692
Pelan pelan kayuh….haha

Malamnya, kami makan malam juga berkonsepkan buffet di Arena Beach Hotel. Pilihan makanan yang ada memang banyak dan memuaskan, masakanya juga amat sedap dan berbaloi dengan harga yang ditawarkan. Harus cuba jika datang ke sini. Sambil menikmati makan malam, kebetulan pula ada persembahan tarian budaya Maldives yang dipersembahkan oleh penari lelaki kesemuanya. Menarik juga tarian mereka dengan alunan music tempatan dan pukulan gendang yang pelbagai. Terhibur, layan jer laa. Usai makan, kami berjalan kaki kembali ke bilik hotel.

20161102_175051
Dinner buffet di Arena Beach Hotel
20161104_212955
Suasana santai layan ‘crab race’

Sebelum itu, kami sempat singgah di satu kawasan (kawasan lapang berdekatan dengan playground tadi) yang kelihatan ramai pengunjung yang sedang duduk2 dalam bulatan. Rupanya, ada acara lumba ketam yang sedang berlangsung. Di pulau ni, excursion operator akan mengadakan acara ini TIGA kali seminggu dan ianya terbuka kepada semua pengunjung, juga penduduk tempatan. Setiap peserta perlu memilih ketam kecil (disediakan oleh penganjur) dan ketam-ketam ini akan diletakkan di tengah-tengah bulatan (garisan di pasir pantai). Secara semulajadi, ketam akan berjalan laju menuju keluar bulatan dan ketam yang paling cepat keluar akan diumumkan sebagai pemenang. Hadiah nya pula berupa pakej2 excursion yang ada disediakan di pulau ini, juga diskaun untuk makan di restoran-restoran yang mengambil bahagian dalam acara ini. Menarik juga aktiviti yang dilakukan, di samping dapat memberi peluang kepada kita untuk berjumpa dan bertegur sapa dengan pengunjung lain yang datang ke pulau ini. Usai acara, kami kembali ke hotel untuk berehat dan tidur.

20161105_084126
Jumpa famili yang juga dari Malaysia ni semasa acara crab race semalam. Sempoi!

Hari ketiga di pulau Maafushi; kami bersarapan dan mula mengemaskan barang-barang untuk check-out dari hotel.  Kali ini kami memilih untuk menaiki feri awam untuk kembali ke pulau Male, yang akan mengambil masa selama 2 jam setengah. Setelah selesai semua urusan di hotel, pekerja hotel menolong untuk menghantar luggage kami ke jeti. Tiba di jeti, kelihatan ramai juga pengunjung yang akan menaiki feri yang sama ke pulau Male sedang menunggu ketibaan feri tersebut.

20161105_121939
Perjalanan kembali ke jeti untuk pulang :(

Langit agak mendung hari ini, tidak cerah seperti hari-hari yang lepas kami berada di pulau ini. Lautan juga kelihatan agak bergelora dan kemudian hujan turun renyai. Tidak lama kemudian, kelihatan feri awam tadi tiba di jeti dan semua penumpang mula bergerak untuk menaiki feri tersebut. Ianya berkonsepkan naik selagi mana ada kekosongan. Tiket hanya perlu bayar dalam feri, iaitu sebanyak USD 2 setiap orang. Nampaknya, feri yang kami naiki kali ini penuh dengan penumpang dan barang-barang. Tidak banyak yang dibicarakan semasa perjalanan. Sekadar melihat gelagat dan aktiviti biasa penumpang-penumpang dalam feri sahaja. Anak-anak juga tak banyak bermain dan kebanyakkan masa dalam feri hanya dihabiskan dengan berehat dan tidur sahaja. Mungkin penat dengan aktiviti berterusan di pulau, ditambah pula dengan cuaca panas yang membuatkan diri cepat letih terutamanya budak-budak.

20161104_055922
Suasana pagi yang indah di Maafushi

Dua jam kemudian, kami tiba di jeti Male. Dari jeti, kami berjalan kaki menuju ke sebuah restoran makanan untuk makan tengah hari. Kami berjalan di Male hampir 15 minit juga sebelum bertemu dengan kedai makan yang sesuai. Oleh kerana keadaan bandar Male yang senantiasa sibuk dan sesak dengan kenderaan, saya tidak sarankan untuk berjalan lama di kawasan bandar lebih-lebih lagi jika membawa bersama anak kecil. Kasihan juga jika terpaksa menghidu asap busuk kenderaan dan debu jalanraya yang bagi saya begitu kuat baunya. Selesai makan, kami menaiki teksi ke jeti seterusnya sebelum menaiki feri ke pulau Hulhumale (pulau airport) dan seterusnya berlepas pulang ke Malaysia.

20161103_101804
Pantai yang berpasir putih halus…..airnya jernih sekali

Rasanya setakat inilah dahulu coretan pengalaman perjalanan kami sekeluarga ke Maldives. Bagi kami, ianya satu pengalaman yang menarik & berbeza dari kembara kami yang sebelum ini. Walau begitu, kami tetap gembira dan syukur kerana berpeluang untuk sampai ke sebuah lagi negara islam, iaitu Maldives dan merasai sendiri keunikan budaya, keramahan penduduknya, dan keindahan alam semulajadi salah sebuah negara di tengah Lautan Hindi ini.

20161103_174305
Maldives itu INDAH…!!

Seperti biasa, saya ada menghasilkan travel video ringkas, gabungan klip-klip video yang sempat saya rakam semasa berada di Maldives.

Boleh klik pada link dibawah untuk menontonya dari Facebook saya.

TRAVEL VIDEO MALDIVES | NOV 2016

Ataupun, boleh klik di sini jika ingin menonton dari Youtube. Keduanya sama sahaja, cuma background music yang berbeza. Saya lebih suka video pertama dari link yang di atas. :)

Terima kasih dan SELAMAT MENONTON !!

Facebooktwittergoogle_plusredditpinterestlinkedinmail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

WordPress spam blocked by CleanTalk.