Day-7, 8 and 9 (Lake Koman – Prizren – Prishtina)
Hari ketujuh dalam misi kembara Balkan, adalah antara hari yang memang saya tunggu kerana pada hari ini kami kan bergerak menuju ke Lake Koman, dan merentasinya hingga ke Fierza, sebelum ke bandar terdekat di sempadan Albania-Kosovo iaitu Bajram Curr. Pagi lagi kami telah menapak ke tempat menunggu van untuk ke jeti Tasik Koman yang terletak di hadapan Cinema Milleneum di bandar Shkodar. Van tiba sekitar pukul 7 dan perjalanan kali ini menaiki van lama jenis nissan serena. Bersama kami ialah pasangan dari Sepanyol yang kami jumpa semasa membeli tiket petang semalam, dan juga 3 orang lagi rakyat tempatan yang pemandu angkut sepanjang perjalanan nak ke jeti. Padat van kali ini, tapi tak bleh nak komen apa la, lagipun Balkan kan. Ianya memang begini Haha.

Sepanjang perjalanan ke jeti, kami disajikan dengan pemandangan yang menakjubkan, ketika van melalui jalan sempit di lereng-lereng bukit yang menghijau, seterusnya memasuki kawasan-kawasan kampung dan terowong sebelum tiba di jeti, kurang lebih 10 minit sebelum jam 9 pagi. Memang takde sistem sangat kat sini. Van pun parking jer dalam trowong gelap dengan lampu samar-samar hingga kami terpaksa guna lampu dari handphone masing-masing semasa mengambil bag dari bonet belakang kerana keadaan sekeliling yang gelap. Dari van, kelihatan 50 meter di hadapan adalah pintu terowong, menuju ke jeti dengan pancaran sinar matahari dari luar.


Kami menuju ke jeti, memberi tiket kepada petugas yang ada di situ, dan kami terus diminta untuk menaiki sebuah feri besar yang berada di situ. Dengan mencelah-celah diantara kenderaan ayng disusun di atas deck feri, kami menuju ke atas kawasan kabin tempat penumpang untuk meletakkan bag. Dari sini, dapat diperhatikan gelagat orang-orang tempatan yang sibuk mengendalikan barang-barang untuk di muatkan ke atas feri, sebelum ianya bergerak tepat jam 9 pagi. Kagum juga, walaupun kelihatan pengurusan yang tiada sistem antara memuatkan penumpang, barang-barang dan juga kenderaan ke feri, namun feri tersebut masih berlepas mengikut jadual yang ditetapkan.


Ramai juga pelancong yang menaiki feri ini, dan kebanyakannya adalah dari negara eropah barat. Rasanya hanya kami berdua dari Asia yang menaiki feri tersebut. Patutlah, ramai jer yang merenung ‘atas-bawah’ tatkala ketemu di atas feri sepanjang perjalanan tersebut. Cuaca amatlah cerah dan baik sekali sepanjang perjalanan. Matahari terik bersinar, namun angin dingin yang bertiup masih mampu membuat diri menggigil jika tidak memakai jaket yang sesuai.




Memang sejuk nya hingga ke tulang. Pemandangan sepanjang perjalanan menaiki feri ini begitu indah sekali. Rasanya tiada kata-kata yang mampu diungkap untuk menggambarkan keindahan banjaran gunung-gunung batu kapur yang teguh berdiri di kiri-kanan tasik. Mulut hanya mampu mangucapkan “Subhanallah”, mengagumi keindahan ciptaan Allah SWT dan pada masa yang sama hati tunduk bersyukur di atas kesempatan yang diberikan-Nya untuk berada di sini menikmati keindahan alam ciptaan-Nya. Nyata, perjalanan 3 jam merentasi tasik ini tidak langsung terasa lama, bahkan hati terasa sedikit sayu bila sudah tiba di jeti Fierza kemudianya.



Tiba di Fierza, kami menaiki furgon (sumbat lagi, memang penuh dalam van tu, konsep sapa cepat dia dapat seat, jika penuh kena tunggu furgon seterusnya sampai yang tak tahu lagi pukul berapa akan tiba) menuju ke bandar seterusnya iaitu Bajram Curr.


Mujurlah perjalannya tidak lama kerana jalan ke bandar ini pun tidak begitu baik juga keadaan nya. Tiba di bandar ini (atau sebetulnya, pekan jer kut), kami membeli tiket furgon (RM22) untuk ke bandar seterusnya iaitu Gjakova, di negara Kosovo. Mujurlah tiket masih ada, dan sementara menunggu waktu bertolak, kami makan tengah hari dulu, dengan sekadarnya. Sempat juga jalan-jalan sekitar pekan ini, namun tiada apa yang menarik sangat pun. Macam pekan koboi sahaja. Jam 1430, kami berlepas ke Gjakova, Kosova. dan tiba di sana jam 1630.

Perancangan asal adalah untuk bermalam di Gjakova. Tapi bila sampai di sana, terkejut juga keadaan nya kerana seolah-olah tiada apa yang menarik sangat untuk diterokai di situ. Selepas berbincang dengan pemandu teksi di situ, dia mencadangkan untuk kami bermalam di Prizren, yang terletak 30 km dari pekan Gjakova. Menurutnya, di sana lebih menarik dan banyak tempat2 yang bersejarah untuk di terokai.

Kami bersetuju dan terus menaiki teksi untuk ke Prizren bersama pakcik driver tersebut. Bagus juga pakcik ni kerana dia asyik bercerita tentang pengalaman semasa perang Bosnia-Serbia yang berlaku dulu, yang mana tentera Serbia juga turut menyerang negara Kosovo dan membunuh ramai orang Islam pada ketika itu. Walaupun inggeris nya kurang lancar, namun kami tetap dapat memahami perkataan dan cerita yang cuba di sampaikanya. Pakcik driver ni juga yang bawa kami ke stesen bas bila tiba di Prizren, untuk kami ‘survey’ tiket perjalanan ke Macedonia. Oleh kerana pada ketika kami sampai, kaunter tiket sudah tutup, jadi kami tidak membeli tiket bas pada hari tersebut. Pakcik tersebut terus sahaja menghantar kami ke bandar Prizren, yang mana ketika sampai di sana, nyata ianya sebuah bandar yang memang menarik dan indah.




Setelah membayar tambang teksi, 20 euro dan mengucapkan selamat jalan kepada Pakcik tersebut, kami terus berjalan menuju ke kawasan yang penuh dengan kedai dan restoran yang terletak bersebelahan dengan sungai. Berhenti seketika untuk minum di sebuah kedai makan, sambil buat booking hotel untuk menginap pada malamnya. Kami menginap di Cleon Hotel (RM89/night) pada malamnya, dan end-up extend stay untuk satu malam lagi menjadikan dua malam kami menginap di Prizren. Memang amat rekomen untuk singgah di bandar ini. Hari kedua di Prizren, kami melawat ibu kota negara Kosovo yang terletak 35km ke utara Prizren, iaitu Prishtina.






Di Prishtina, memang banyak tempat2 untuk dilawati seperti Newborn Monumen, Library, Masjid Al Fateh dan lain-lain lagi. Bandar ini kelihatan lebih moden dan sibuk berbanding dengan bandar Prizren. Kami kembali ke Prizren pada hari yang sama pada lewat petang nya dan esoknya bersiap untuk perjalanan merentas sempadan lagi, iaitu ke Macedonia.






BONUS: Travel video sepanjang mengembara di Balkan telah pun siap dan boleh di tonton di sini. Happy watching!! Tekan butang ‘SUBSCRIBE’ jika anda suka video ini. Thanks 🙂





