Kembara Diri Merdeka!

Merdeka, Merdeka, Merdeka! Kata-kata laungan yang bergema setiap tahun tepat jam 12 malam, pada 31 Ogos. Tahun ini, 2016 ianya tidak terkecuali. Baru sejam yang lepas, kata-kata yang sama berkumandang ke langit malam di bumi Malaysia. Di sambut oleh jutaan rakyat Malaysia samada di dataran merdeka, di bukit jalil, di Putrajaya, di sekitar KLCC, di kedai-kedai mamak atau tomyam, di dalam kenderaan yang tak mampu bergerak kerana ‘jem’, atau sekadar di depan TV di rumah. Walaupun berbeza tempat sambutan dan juga kaedahnya, namun detik 12 malam merdeka pastinya senantiasa dinantikan oleh kita semua, rakyat Malaysia.

Kenapa? Kenapa ianya terasa begitu dekat di hati?

Kerana di negara inilah kita semua dilahirkan. Jika tidak pun, di negara ini jugalah kita dibesarkan. Jika tidak pun, di negara inilah ibu dan ayah kita dilahirkan dan dibesarkan. Di negara ini, Malaysia.

Semangat kemerdekaan juga telah lama ditanam dalam jiwa kita; semenjak kita kecil. Bendera Malaysia yang mempunyai empat warna itu, begitu sinonim buat kita sejak kecil dahulu, bahkan hingga tahap ingat akan makna setiap warna yang ada di bendera tersebut.

Merah tanda berani,

Putih tanda bersih,

Biru tanda bersatu,

Kuning, raja berdaulat!

Ya, cinta kepada negara dipupuk sejak dari kecil.

Bila menjejak alam remaja, cinta kepada negara masih kuat bersemadi. Melalui acara-acara olahraga dan sukan yang dipertandingkan di peringkat global seperti Sukan Sea dan Olimpik, kita begitu bersemangat untuk melihat negara kita memberi saingan yang sengit dalam setiap acara yang dipertandingkan. Kegembiraan dengan kejayaan membawa pulang pingat amatlah dirasakan tanpa perlu mengambil kira jenis pingat yang dimenangi. Sekadar melihat bendera negara berkibar dipodium walau tanpa lagu kebangsaan bergema sudah mampu membuatkan diri tersenyum. Ianya masih begitu walau umur sudah meningkat dewasa.

Kita juga bangga dari masa ke semasa, ada sahaja rakyat Malaysia yang berusaha dalam mengharumkan nama negara dalam pelbagai bidang. Ianya tidak mengira peringkat umur. Daripada menawan gunung everest, sehingga menjayakan penjelajahan solo ke serata dunia, pasti ada sahaja rakyat Malaysia yang terlibat dalam menjayakan nya. Kita menunmpang bangga.

Dewasa ini, diri kerap mengembara. Alhamdulillah, rezeki dari Allah SWT yang Maha Esa yang memberi peluang untuk diri ini menjelajah melihat dunia. Setiap kali ke luar negara, perasaan sentiasa teruja bila bertemu dan berbicara dengan penduduk negara yang dikunjungi. Setakat ini kebanyakanya memberi respond yang positif bila berbicara tentang negara kita, Malaysia. Bagi mereka, Malaysia adalah sebuah negara yang paling menonjol dari segi kemodenan, dan keindahan lanskap nya jika di bandingkan dengan negara-negara lain di Asia Tenggara. Ini pendapat mereka yang sudah pernah sampai di Malaysia. Dan jika ‘bersembang’ dengan orang Muslim di negara-negara balkan pula, nama Malaysia begitu mereka hormati dan seolah terpaut perasaan dekat di hati mereka dengan negara kita. Mungkin kerana jasa para tentera kita yang banyak membantu negara-negara balkan ini terutama semasa perang Bosnia-Serbia suatu ketika dahulu. Sikap mereka dengan kita juga begitu ramah sekali terutama bila mengetahui yang kita adalah rakyat Malaysia. Terharu. Dan yang paling banyak mereka perkatakan adalah tentang kemajuan Malaysia sebagai sebuah negara Islam pada ketika itu yang begitu menyerlah dan kuat di Asia Tenggara.

Topik yang sama pernah menjadi sembang santai saya bersama seorang pemuda rakyat tempatan semasa saya berada di Pritzren, Kosovo. Dia cuba mengingati nama pemimpin M’sia yang menghantar tentera ke Kosovo semasa perang Bosnia-Serb dan pemimpin yang sama juga di ingatanya yang telah berjaya mengubah Malaysia ke tahap yang tinggi di mata dunia ketika itu. Lama dia memejam mata sambil mulut terkumat kamit cuba mengingati nama pemimpin tersebut. Lalu saya cuba meneka dengan menyebut nama Dr. Mahathir? Mukanya terus senyum lebar, dan berkata, “Yess, that’s the man’s name”, dan kami berdua ketawa sambil menikmati pemandangan indah kota lama Pritzren di waktu pagi dari bukit terdekat.

travnik

Namun, jauh di sudut hati, terpendam perasaan sedih, hampa dan marah dengan apa yang berlaku di Malaysia sekarang. Pelbagai isu yang memalukan muncul dan heboh seantero dunia tentang penyelewengan dana awam dan wang rakyat oleh kalangan pemimpin tertinggi negara yang berterusan dan seolah-olah tiada kesudahan. Belum lagi cerita bab ekonomi yang merudum, kadar pengangguran yang meningkat dan harga barang yang tidak kenal erti turun. Dan semua ini berlaku begitu pantas sekali. Yang jika dibiarkan, mungkin mampu menghantar kembali Malaysia jauh ke belakang berbanding negara-negara lain di Asean.

Jadi, apa yang mampu perlu di buat untuk meperbaiki keadaan?

Teruskan kehidupan. Lakukan yang terbaik dan sumbangkan apa sahaja yang mampu menambah baik kehidupan kita dari segi kepatuhan menjalani kehidupan berlandaskan agama Islam, sistem kekeluargaan, generasi, masyarakat, dan negara. Buat pilihan yang bijak dalam memilih pemimpin yang benar-benar mampu membawa negara ini ke arah yang lebih baik. Berikan apa jua sumbangan tidak mengira kecil atau besar kepada keluarga, orang di sekeliling kita dan juga masyarakat amnya. Insya Allah, pahalanya ada.

Benar, negara kita ketika ini sedang parah dan berdarah. Tetapi jika dirawat dengan ubat dan teknik rawatan yang betul, pasti ia akan pulih dan gagah kembali.

Trip saya ke negara-negara balkan awal bulan ini banyak mengajar saya betapa sesebuah negara itu mampu bangkit kembali dari segi ekonomi dan masyarakatnya walaupun sebelumnya pernah hancur musnah akibat dari perang yang berlaku. Kebangkitan ini jelas dapat di lihat tatkala berada di Bosnia dan juga Kosovo. Ianya juga menguatkan lagi rasa syukur dan sayang kepada negara sendiri, walaupun kita menyedari tentang perkara sebenar yang sedang berlaku di dalam negara kita ketika ini tidaklah banyak membantu dalam mengukuhkan nama negara di persada dunia. Apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Merdeka? Ya, pada sambutan nya nampak sebegitu, namun semangat  dan jiwa nya nampak jelas ‘hilang’ di pertengahan jalan.

Masa untuk kembali pulang!

Selamat Malam….

Facebooktwitterredditpinterestlinkedinmail

2 thoughts on “Kembara Diri Merdeka!”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *