Dari Oslo, kami bertolak dengan penerbangan Norwegian Airlines ke utara Norway, iaitu Tromso. Tromso merupakan antara bandar yang termasuk dalam Arctic Circle, dan yang paling ramai penduduknya iaitu sekitar 50,000 orang. Tujuan kami ke sini ialah untuk merealisasikan impian utama kami menuju ke bumi artik ini iaitu melihat sendiri keajaiban cahaya utara atau dikenali juga dengan nama Aurora Borealis. Fenomena ini hanya dapat dilihat di negara-negara yang berada dalam lingkungan bulatan artik, antara bulan Oktober hingga March setiap tahun.



Kami tiba di Tromso lebih kurang pukul 10 pagi, selepas mengharungi penerbangan selama 2 jam dari Oslo. Keluar sahaja dari airport, kelihatan salji tebal yang memutih sekitar airport. Hanya jalanraya sahaja yang kelihatan tiada salji tebal melitupi, mungkin hasil dari aktiviti harian pihak berkuasa tempatan di sini yang akan menolak ke tepi timbunan salji yang berkumpul di jalanan setiap hari. Kami terus menaiki bas ke bandar Tromso, yang boleh di ambil di perhentian bas yang terletak dalam 2 minit berjalan kaki menuruni bukit ke jalan utama dari airport. Masa untuk tiba ke bandar lebih kurang 15 minit.





Bandar Tromso tidaklah besar mana jika hendak di bandingkan dengan Oslo, namun ada sahaja kelihatan manusia yang berjalan ke sana-sini di sekitar pekan ini, walaupun dalam salji yang sedang turun. Barangkali, ianya perkara biasa untuk penduduk di sini dengan keadaan cuaca yang sebegini. Suhu semasa kami tiba sekitar 0C sehingga -4C…sejuk, tetapi masih mampu bertahan. Kami berjalan sekitar pekan Tromso, sambil mencari kedai-kedai makanan halal sekiranya ada. Nampaknya hanya ada satu sahaja kedai yang menjual kebab dan burger, yang tidak bertulis halal, namun diberitahu oleh pemiliknya, dia menggunakan bahan-bahan halal untuk membuat hidangan. Ada juga kedai yang menjual barang2 mentah yg halal, di mana kami sempat membeli sedikit bekalan untuk memasak bila tiba di rumah sewa (sewa melalui AirBnB) nanti.





Kami menetap di Tromso selama dua malam dan menyewa di ruma Puan Mona yg ditempah melalui AirBnB online. Rumahnya memang bersih, cozy dan dekat dengan perhentian bas untuk ke bandar. Juga ada disediakan dapur untuk memudahkan penyewa memasak makanan. Apa yang bagusnya, semua bilik-bilik yang disewakan termasuk tandas dan dapur berada di tingkat atas, manakala tuan rumah pula berada di tingkat bawah. Secara tidak langsung, tiadalah isu kita mengganggu tuan rumah jika pulang lewat atau sebagainya.




Malam pertama, kami cuba untuk melihat Aurora Borealis dari kawasan rumah sewa kami, namun hampa kerana awan tebal dan banyak pencemaran cahaya dari bangunan-bangunan di bandar Tromso. Pada waktu ini, suhu waktu malam boleh mencecah sehingga -10C dan amat menyejukkan..huhu! Malam kedua, kami memutuskan untuk turut serta secara berkumpulan untuk menjejak aurora diluar bandar Tromso. Servis ini dikendalikan oleh sebuah syarikat di Tromso, dan mengikut maklumat yang kami dapat, mereka memang sudah lama bertapak dalam bidang ini. KLIK SINI.






Kami bergerak keluar dari bandar Tromso lebih kurang pukul 6.30 pm, dan pada masa ini keadaan di luar sudah pun gelap (waktu maghrib adalah pada pukul 3.30 pm). Bas membawa kami menuju ke satu kawasan disebelah barat Tromso, namun keadaan tidak mengizinkan di mana awan putih dan tebal memenuhi langit pada ketika itu. Ini membuatkan ianya mustahil untuk kami semua melihat cahaya hijau tersebut. Tidak lama di situ, guide kami terus menuju ke satu lagi kawasan dan berhenti di sebuah kawasan lapang di tepi jalan. Menurutya, di situ terdapat sedikit bukaan (ruang yang tidak dilitupi awan) di langit dan membolehkan kami untuk melihat aurora sekiranya ia muncul nanti.

Hampir 1 jam menunggu sambil merenung ke langit, kelihatan perlahan-lahan keluarnya cahaya hijau yang masih nampak samar2 di sebalik awan. Ketika ini lah, para fotografer terus mengambil posisi masing-masing, dan memasang kamera di tripod masing-masing untuk memulakan aktiviti mencerap cahaya tersebut. Lama-kelamaan, cahaya kelihatan semakin terang, mungkin juga kerana mata kami yang sudah ‘adjust’ kepada keadaan gelap di sekeliling memudahkan lagi kami untuk melihatnya. Namun, kemunculanya masih tidaklah berapa terang, dan masih terlindung di balik awan-awan yang bergerak berserata di langit. Walau begitu, perasaan yang tidak mampu di gambarkan dengan kata-kata menerjah ke hati.Gembira. Terharu. Syukur.

Hampir sejam lebih di situ, guide kami sekali lagi memutuskan untuk mencari port yang lebih baik supaya kami dapat melihat dengan lebih jelas. Kawasan langit yang terang tanpa awan menjadi sasaran. Selepas 15 minit berpusing-pusing, akhirnya bas berhenti di satu kawasan lapang di tepi jalan kecil menuju ke sebuah perkampungan di kawasan pendalaman. Kawasan sekitarnya begitu gelap sekali, tanpa gangguan cahaya dari sumber lain, walaupun lampu jalan. Nyata, kawasan ini tidak mengecewakan. Turun sahaja dari bas, kelihatan cahaya hijau terang Aurora Borealis yang seakan-akan terbit dari sebalik bukit menghiasi langit. Ianya seakan-akan menari. Ketika ini, masing-masing berjalan pantas ke hadapan untuk mencari ‘port’ yang paling menarik untuk ‘memacakkan’ tripod kamera dan pada ketika ini ‘tembakan’ shutter kamera kedengaran bertalu-talu. Suatu perasaan tanpa henti datang menerjah sanubari. Teruja, Kagum, Gembira, Terharu, Syukur. Sungguh, kekuasaan Allah SWT itu tiada bandingan. Hanya Dia-lah yang menguasai langit, bumi dan apa yang ada di antara keduanya.

Hampir 2 jam berada di situ, tangan dan kaki terasa kebas kesejukan. Suhu pada ketika itu sekitar -10 celcius, umpama sedang terkunci dalam peti ais yang besar. Kekadang, terpaksa masuk seketika dalam bas untuk mengambil sedikit haba buat memanaskan badan. Mujurlah ada juga di sediakan air ‘hot chocolate’ dan biskut untuk mengalas dan memanaskan badan. Nyata ianya memang membantu menahan kesejukan malam. Sekali lagi, guide kami ingin bergerak ke tempat seterusnya, yang merupakan antara tempat ‘favorite’ menurutnya. Hampir 10 minit kemudian, kami tiba di satu kawasan di tepian tasik di sebuah kawasan perkampungan, yang kawasan sekitarnya juga amatlah gelap. Memang, tidak di nafikan, kawasan ini memang cantik dengan cahaya Aurora Borealis yang pada ketika itu begitu teruja memunculkan dirinya di sebalik lembah gunung di kaki langit. Ianya begitu memukau. Cahaya hijau dan merah kelihatan menari-nari dan adakalanya berpusar di sebalik bukit, seolah-oleh suatu persembahan alam semulajadi buat tatapan kami semua, makhluk yang kerdil ini. Ianya begitu indah sekali.

Kami berada di situ, hampir sejam. Namun, tidaklah terasa lama pun. Mungkin kerana asyik merakam gambar indah Aurora Borealis membuatkan masa yang berlalu terasa begitu pantas sekali. Jam menunjukkan hampir pukul 12.45 malam. Tiba masanya untuk kembali ke bandar Tromso, dan kami tiba di bandar sekitar jam 1.00 pagi. Walaupun penat, dan terpaksa ‘menapak’ menyeberangi jambatan sejauh 2.2km lagi sebelum tiba di rumah, namun perasaan puas jelas terbayang di wajah kami. Alhamdulillah, syukur kerana misi kami untuk menyaksikan sendiri Aurora Borealis akhirnya termakbul sudah. Syukur.







Salam. RM5,500 tu include semua ke sekali transport, accommodation and makan?
Wsalam,
Jumlah perbelanjaan adalah termasuk tiket flight, accommodation & foods. Terima kasih.
Cantiknya…Subhanallah…
Salam. Thanks for sharing your experience. Btw, boleh share tak which tour agent you follow for the aurora hunting tu? I’m planning to visit Scandinavia countries in this coming Dec 2017.
Ini link untuk aurora chasing service
https://www.arcticguideservice.com/en/destinations/
Tqvm! Btw, do we need to book in advance?