Kami memulakan perjalanan seterusnya ke Narvik dengan menaiki bas seawal jam 6 pagi. Mujurlah kami tidak perlu ke bandar untuk menaiki bas, kerana bas ke Narvik memang akan melalui jalan utama berhampiran kawasan perumahan kami tinggal dan berhenti di stesen berdekatan dengan arctic cathedral. Tiket hanya di beli dalam bas, menggunakan kad kredit dengan harga RM 110 seorang. Perjalanan ke Narvik mengambil masa hampir 4 jam. Pemandangan di kiri kanan tingkap bas di penuhi dengan warna putih; litupan salji tebal yang melitupi apa sahaja yang ada di pinggir jalan. Bas bergerak melalui kawasan kampung, bandar, hutan & tasik.

Walaupun berbeza, namun pemandangan yang ada hampir sama sahaja, satu wara; iaitu putih. Jarang sekali kelihatan kenderaan yang melintas, apatah lagi manusia. Dengan cuaca yang sebegini, pastinya berada di dalam rumah di temani ‘heater’ dan minuman panas, adalah perkara yang paling praktikal & menarik untuk penduduk sekitar. Dalam perjalanan juga, bas yang kami naiki melintasi suatu kawasan di tempat berlakunya satu kemalangan. Kelihatan sebuah kereta terbalik di tepi jalan, mugkin kerana hilang kawalan di jalan yang sememangnya licin dan bersalji. Pemandu bas siap memberhentikan bas, dan turun untuk melihat jika ada sebarang pertolongan yang di perlukan. Namun, pihak polis sudah terlebih dahulu tiba di lokasi, dan keadaan di lihat terkawal. Pemandu kereta terlibat dilihat tiada kecederaan. Sekejap sahaja, pemandu bas kembali dan kami meneruskan perjalanan berbaki sejam lebih lagi untuk tiba di Narvik.



Hampir jam 10 pagi, kami tiba di bandar Narvik. Bas berhenti di hentian berdekatan dengan sebuat pasaraya. Menurutnya, stesen keretapi berada lebih kurang 5 minit berjalan kaki dari situ. Kami berjalan kaki menyusuri jalan di pekan Narvik, masuk ke pasaraya tersebut sekadar untuk melihat-lihat sambil berlindung dari salji yang sedang turun di luar. Kemudian, kami terus ke stesen keretapi, yang mama pusat informasi untuk pelancong terletak pada bangunan yang sama. Pada mulanya kami berhajat untuk menggunakan loker berbayar untuk menyimpan bag kami di situ sementara kami keluar meneroka bandar Narvik seketika. Tetapi, pekerja di kaunter ‘tourist information’ memberitahu yang kami boleh meniggalkan bag kami berdekatan kaunter mereka sahaja, dan mereka akan tolong untuk tengok-tengok kan. Itu sudah bagus! Jimat RM20 🙂 hehe.


Kami keluar kembali ke bandar Narvik untuk mencari makanan (maklumlah, masih belum sarapan) untuk makan tengah hari. salji masih turun dengan lebat juga. Bandar Narvik keseluruhan nya di litupi dengan salji. Cuaca persekitaran pada masa ini dalam -2 celcius, memang sejuk. Sekitar hampir 15 minit berjalan, kami tiba di sebuah market yang menjual ikan mentah, dan juga yang boleh di masak. Fish and chips menjadi pilihan. Walaupun rasanya agak plain (terlupa plak nak bawak sekali sos dalam paket yg teringgal dalam bag), tapi kerana kelaparan, laju juga makanan di habiskan. Aktiviti seterusnya selepas makan ialah berjalan-jalan sekitar bandar Narvik sementara menunggu Train seterusnya ke Bjorkliden Sweden pada pukul 4.30 petang.









Kami menaiki train (Arctic Train SJ) yang bertolak dari Narvik menuju ke Bjorkliden dalam pukul 4.30 petang. Sebenarnya, perancangan asal ialah untuk bermalam di Abisko, Sweden tetapi terpaksa bertukar ke Bjorkliden kerana accommodation di Abisko semuanya penuh pada tarikh perjalanan kami. Mujurlah beza antara dua tempat tersebut hanya 5 minit perjalanan train dan terletak pada laluan yang sama. Jadi ianya tidaklah menyusahkan kami, walaupun telah terlebih dahulu membeli tiket train ke Abisko secara online. Perjalanan lancar. Keadaan di dalam train amat baik, dengan saiz kerusi yang agak besar (sebenarnya saiz kami yg kecil, standard orang-orang asia sahaja) dan selesa. Sejam 15 minit kemudian kami tiba di Bjorkliden, Sweden. Border control? Takde apa kat sini, lalu macam tu sahaja, bahkan train pun langsung tidak berhenti di sempadan Norway – Sweden. Standard negara-negara europe memang begini. Berbeza dengan kita walaupun bersebelahan dengan Thailand dan Singapore, tapi kawalan sempadan begitu ketat juga, terutama di bahagian imegresen. Nak masuk Sabah atau Serawak pun kena lalui imegresen juga, padahal negeri-negeri dalam Malaysia juga. Pelik tetapi benar.



Tiba di Bjorkliden, keadaan sekitar sudah malam gelap. Angin kuat juga bertiup, dengan titisan salji yang lebat juga. Kami berjalan kaki ke hostel penginapan kami di Gammelgården Ski Lodge, dalam 5 minit perjalanan dari stesen keretapi tadi. Waktu kami tiba, reception area sudah tutup, dan terdapat notis yang bertulis kami terpaksa pergi ke hotel berdekatan (Hotel Fjallet) yg terletak di atas bukit, 15 minit berjalan kaki jaraknya (kalau jalan keadaan biasa, tapi dengan salji yang menebal, pasti lebih sukar dan perlahan). Dugaan. Kebetulan ada pasangan yang baru balik dari bermain ski tiba di pintu utama. Mereka menggunakan kad untuk membuka pintu, dan kami pun tumpang sekali untuk masuk meletakkan bag di ruang tamu hostel. Tak larat nak berjalan ke hotel nanti dengan mengusung bag sekali. Kami berjalan keluar kembali ke stesen keretapi tadi, dan kelihatan van hotel sedang mengangkut barangan tetamu hotel yang baru tida dengan train untuk di hantar ke hotel di atas bukit tersebut. Tanpa segan silu, kami tumpang van tersebut untuk ke hotel di atas bukit tersebut. Mujurlah boleh. Sepatutnya van tersebut hanya untuk mengangkat barang sahaja. Rezeki, Allah permudahkan. Syukur.



Setelah selesai urusan check-in di Hotel Fjallet, kami kembali semula ke hotel kami. Kali ini kami minta tolong dari receptionist hotel untuk arrange transport menghantar kami ke bawah ke hostel kami. Mujurlah ada. Kami bersama satu lagi pasangan dari Germany yang baru tiba terus menaiki van menuju ke hostel. Alhamdulilah, berjaya juga urusan check-in hostel. Di Gammelgården Ski Lodge ini, ada terdapat pelbagai kemudahan disediakan seperti ruang tamu, galley, shared kitchen dan sauna. Boleh dikatakan lengkap juga kemudahan di sini. Cuma pekerja hostel tidak ada di situ setiap hari. Mereka hanya akan datang pada hari Isnin & Khamis untuk urusan mengemas dan membersih bilik. Selain hari tersebut, guests kena berurusan dengan pihak Hotel Fjallet di atas bukit ‘sinun’. Huhu!
Malam nya, saya sempat bangun dan keluar untuk meninjau cahaya Aurora Borealis di kawasan sekitar hotel. Dengan kamera dan tripod, pukul 3.30 pagi saya berada di luar hotel, dalam suasana gelap, dan kesejukan yang terasa seperti mencengkam tangan dan kaki walau memakai glove dan stokin berlapis. Sempat juga memacakkan tripod di beberapa lokasi, namun langit ketika itu dipenuhi awan yang membuatkan sukar untuk melihat cahaya hijau itu. Tetapi, jika diamati sebenarnya cahaya Aurora memang ada pada malam itu, tetapi ianya terlindung di sebalik awan dan cahayanya sedikit lemah. Mungkin kerana waktu yang sudah lewat, dan hampir tiba waktu fajar. Hampir sejam di luar, saya kembali di dalam hostel. Kecewa juga kerana tidak dapat mencerap cahaya aurora sebagaimana sebelum ini di Tromso.



Keesokanya harinya, kami banyak menghabiskan masa dengan menjelajah kawasan sekitar Bjorkliden. Rata-rata kawasan ini penuh diliputi dengan salji yang tebal, dan ada terdapat 4 tempat bermain ski sekitar kawasan ini. Patutlah ramai yang datang ke sini kebanyakkan nya untuk bermain ski, samada secara solo atau bekeluarga. Seronok juga bila melihat anak-anak penduduk tempatan yang masih kecil begitu cekap sekali bermain ski walaupun hanya baru dalam lingkungan umur 4-5 tahun. Pendedahan awal oleh ibu bapa nyata berhasil.
Bila hari hampir petang, kami menuju ke Hotel Fjallet di atas bukit, dan berehat di lobi hotel yang agak cozy sambil melayan pemandangan indah pekan Bjorkliden di kala senja. Dengan bertemankan ‘hot chocolate’ dan ‘coffee’, ianya memang suatu perasaan yang nyata berbeza. Di lobi hotel juga ada disediakan unggun api kecil untuk menghangatkan suasana selain dari heater. Kami menunggu di situ sehingga hari gelap. Tepat jam 7 malam, kami keluar dan mendaki bukit di belakang hotel, untuk menuju ke Aurora View station yang terletak lebih kurang 700 meter dari hotel. Suasana sekeliling amat gelap sekali.




Di kiri kanan laluan kami, hanya kelihatan bayang2 pokok pine yang tidak berdaun dan jauh di depan kami kelihatan cahaya putih dari tiang lampu yang agak malap. Mengikut receptionist hotel tadi, kami perlu berjalan sehingga berjumpa lampu putih di tiang ke empat sebelum tiba di pondok Aurora View Station. Kami baru nampak lampu di tiang kedua. Perjalanan mendaki terasa begitu lambat sekali, terutama bila jalan turut dilitupi salji. Akhirnya, setelah hampir 20 minit, kami tiba di tiang ke empat dan kelihatan di situ tertulis “Aurora View Station” dan ada simbol anak panah yang menunjukkan arah ke kanan. Kami menoleh ke kanan kami untuk melihat di mana terletaknya pondok tersebut. Dalam kegelapan dan kesejukkan kami cuba juga untuk melihat laluan ke pondok tersebut, namun gagal. Keadaan sekeliling terlampau gelap. Pasrah. Lampu suluh pula kami terlupa untuk bawa bersama. Saya mengajak wife untuk berpatah balik ke hotel untuk meminjam torchlight. Itupun jika ada.



Baru sahaja kami berpatah balik dalam 5 minit, kelihatan sinar cahaya dari torchlight yang datang dari bawah bersama kelibat 2 orang yang sedang berjalan ke arah kami. Kami menunggu sabar. Bila tiba dekat, kami menegur pasangan tersebut, dan nampaknya mereka juga ingin ke pondok Aurora View Point tadi. Kami ambil keputusan untuk join mereka bersama ke pondok tadi kerana mereka mempunyai kelengkapan lampu yang cukup untuk ke sana. Pasangan suami isteri tersebut datang dari Singapura, dan mereka begitu friendly dan peramah sekali dan kedua-duanya memang datang untuk mencerap aurora dengan kamera dan tripod masing-masing. Masih muda, dalam awal 30-an mungkin. Nampaknya, kami ber empat adalah antara yang pertama sekali tiba di pondok tersebut. Kalau nak dikira lokasi, pondok ini yang agak secluded juga. Tapi di dalam nya ada di sediakan bangku & meja kayu untuk duduk berehat, ada plug elektrik dan juga heater. Kami tidak tahu. Kalau tahu pasti akan di bawa sekali cerek letrik, dan kopi 3 in 1 sebagai bekal, haha.

Tidak lama kemudian, datang pasangan German (yang tiba bersama kami kelmarin) di pondok tersebuk. Nampaknya, mereka juga mencari Northern Light!! Suasan meriah juga bila ramai. Tidak bosan. Walaupun suhu di luar begitu sejuk, lebih kuran -14 celcius, namun kami tetap asyik mencerap cahaya hijau aurora yang kelihatan sedikit ‘malu’ walaupun langit cerah. Malam ini, cahaya aurora keluar dengan pelbagai bentuk, ada yang panjang, kadang kala berpusar dan kadangkala berbentuk tajam-tajam ke atas. Bentuknya umpama bertebaran di langit. Alhamdulillah, syukur. Sekali lagi kami berpeluang untuk melihatnya. Hampir pukul 1 pagi, kami berjalan pulang bersama pasangan S’pore tadi ke hostel masing-masing. Penat, letih dan lesu. Namun masih mampu tersenyum. Terutama bila melihat gambar yang sempat di rakam. Suatu pengalaman, yang sukar untuk dilupakan.

Hi nak tanya antara scandinavian dengan iceland mana satu yang lebih baik untuk tengok aurora… Terima kasih