Kembara Tanah Suci : Makkah Al-Mukarramah

Makkah, adalah nama tempat yang tidak asing buat setiap umat Islam seluruh dunia, dan khusunya di Malaysia. Ia adalah merupakan bandar suci umat Islam di mana terletaknya Masjid Al-Haram dan Baitullah iaitu Kaabah. Menjadi impian setiap muslim yang beriman untuk datang beribadah di tanah suci ini, tidak kira walau di mana pun tempat asal mereka. Perasaan rindu yang sentiasa terpaut inilah yang mungkin di rasai oleh setiap muslim tatkala ada ahli keluarga, sahabat dan kenalan yang akan ke tanah suci.

_DSC9662
Gambar Kaabah dari Mataf Upper Level | Masjid Al-Haram

Di sini, saya ingin berkongsi sedikit pengalaman kami semasa kami mengerjakan umrah di tanah suci baru-baru ini. Alhamdulillah, saya bersama isteri dan anak sulung kami telah diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk sampai ke dua tanah suci, Makkah dan Madinah. Syukur yang tidak terhingga ke hadrat Allah SWT yang telah mempermudahkan perjalanan kami sekeluarga untuk menunaikan ibadah umrah dan seterusnya berkunjung ke masjid Nabi SAW di Madinah.

Dari Abu Hurairah radhiallahu anhu dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam beliau bersabda:
لَا تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلَاثَةِ مَسَاجِدَ مَسْجِدِي هَذَا وَمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَمَسْجِدِ الْأَقْصَى
“Janganlah kalian bersusah payah melakukan perjalanan jauh kecuali menuju ke tiga masjid: Masjidku ini (Masjid Nawabi), Masjid Al-Haram (di Makkah), dan Masjid Al Aqsha.” (HR. Al-Bukhari no. 1115 dan Muslim no. 1397)

Perjalanan kami bermula dari  Kuala Lumpur dengan penaiki pesawat Air Asia X, yang berlepas dari KLIA 2 pada pukul 2.30 pagi pada 4hb Januari dan seterusnya tiba kurang lebih pukul 8.30 pagi (waktu Saudi) di airport Jeddah (terminal jemaah haji). Urusan mengambil bag, dan menunggu ketibaan bas mengambil masa hampir 3 jam. Mengharungi perjalanan lebih sejam, kami akhirnya tiba di kota Makkah selepas waktu zohor. Usai urusan pembahagian kunci bilik hotel oleh mutawwif, dan menunaikan solat zohor, kami meneruskan perjalanan ke Masjidil Haram yang terletak 750 meter dari hotel tempat kami menginap untuk meneruskan ibadah umrah kami iaitu, tawaf, saei dan tahallul.

_DSC9532
Makkah Clock Royal Tower| Abraij Al-Bait

Kami bertawaf umrah di Baitullah selepas solat Asar, di tingkat paling atas Mataf. Ia merupakan pengalaman pertama kami tawaf di ‘Mataf’ sementara yang di bina oleh kerajaan Saudi untuk menggantikan ruang tawaf di tingkat 1 dan 2 yang sebelum ini terdapat di dalam Masjidil Haram. (Ruang asal telah ditutup kerana kerja-kerja pembinaan di bawah projek pembesaran Masjidil-Haram). Suasana indah berada di hadapan Kaabah, dan di dalam masjid yang paling utama di dunia, Masjid Al-Haram tidak mampu untuk digambarkan dengan perkataan. Walaupun zahirnya kami umpama berada dalam lautan manusia yang begitu ramai di sini, namun Allah SWT dengan sifat pengasih dan penyanyang-Nya senantiasa memberi ruang, memelihara dan memudahkan perjalanan ibadah hamba-hambaNya.

Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar. Walillahil Hamdu…

Selesai tawaf tujuh pusingan dan bersolat di belakang maqam Ibrahim, kami menyegarkan diri dengan meminum air zam-zam yang banyak disediakan di kawasan laluan dan penjuru-penjuru sekitar Masjid Al-Haram. Nikmatnya meminum air ini, umpama seluruh badan dicas sepenuhnya dan kembali segar untuk mengerjakan ibadah Saie. Turutan rukun umrah adalah sebagaimana berikut iaitu;

Niat di miqat – Tawaf – Saie – Tahallul – Tertib.

Pelaksanaan Rukun Umrah tidak boleh dibuat dengan mewakilkannya kepada orang lain. Sekiranya salah satu daripada Rukun Umrah ditinggalkan secara sengaja atau tidak sengaja, ibadah umrah tersebut adalah tidak sah.

Kami selesai mengerjakan ibadat Saie sebelum masuk waktu Isyak dan saya menagguhkan untuk ber’tahallul’ hingga selesai solat Isyak. Ini kerana saya memilih untuk bercukur kepala untuk bertahallul kerana ianya tiga kali lebih afdhal berbanding dengan bergunting sebagaimana sabda Nabi SAW:

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
(Allah merahmati orang-orang yang bercukur. Para sahabat berkata: Bagaimana dengan orang-orang yang bergunting wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Allah merahmati orang-orang yang bercukur. Para sahabat berkata: Bagaimana dengan orang-orang yang bergunting wahai Rasulullah? Baginda tetap bersabda: Allah merahmati orang-orang yang bercukur. Para sahabat berkata lagi: Bagaimana dengan orang-orang yang bergunting wahai Rasulullah? Kemudian barulah baginda bersabda: Dan juga orang-orang yang bergunting).

Selesai bercukur tahallul, maka ‘terangkatlah’ kami dari perkara-perkara yang diharamkan semasa kami di dalam Ihram, dan ianya juga bermakna kami telah selesai mengerjakan ibdah umrah pada kali ini. Syukur ke hadrat Allah yang tidak terhingga kerana telah memberi kesempatan dan kemudahan kepada kami sekeluarga, termasuklah anak sulung kami Faheem yang baru masuk umur 9 tahun dalam kami mengerjakan perjalanan umrah kami ini.

Sesungguhnya, tiada daya dan upaya kami melainkan dengan izin Allah SWT.

_DSC9657
Aktiviti sekitar kota Makkah

Kami berada di Makkah dari hari Isnin, 4 Jan-16 sehingga Ahad, 10 Jan-16 dan mula bergerak ke kota Madinah pada petang hari tersebut. Sepanjang 7 hari 6 malam berada di kota Makkah, banyak perkara yang saya dan keluarga pelajari. Ianya datang dari pemerhatian dan pengalaman kami sendiri sepanjang berada di sana. Di sini saya ingin berkongsi serba sedikit tips yang boleh dilakukan semasa berada di Makkah, dan semoga ianya memberi manfaat kepada kita semua, dalam kita berusaha mencari redha-Nya, Insya Allah.

_DSC9610

– Jika perjalanan umrah dari Malaysia dan akan terus masuk ke Makkah, maka memakai ihram bagi lelaki adalah lebih baik dilakukan semasa di KLIA 1 @ 2 sebelum berlepas. Ini boleh diikuti dengan mengerjakan solat sunat ihram. Ini kerana, ruang di dalam flight adalah terhad dan agak sukar juga memakai kain ihram dalam penerbangan kerana kawasan nya yang agak terhad.

– Sentiasa membawa botol semburan kecil untuk berwudhuk dalam perjalanan, samada dalam penerbangan atau bas jika perlu. Botol ini boleh di dapati di mana-mana kedai yang menjual pakaian haji dengan harga sekitar RM5 – RM7 sahaja.

– Untuk ibadah tahallul umrah, jemaah lelaki dan wanita di sarankan untuk membawa sendiri gunting kecil. Untuk jemaah lelaki, lebih afdhal untuk bertahallul dengan bercukur di kedai gunting yang banyak boleh di dapati di luar perkarangan masjid. Harga sekitar SR10 satu kepala.

– Perbanyakkan minum air zam-zam samada yang disediakan dalam tong-tong sekitar Masjidil Haram atau di kawasan yang ber paip. Ianya mempunyai ribuan khasiat untuk tubuh badan manusia, dan merupakan anugerah Allah SWT kepada kita umat Islam. Sentiasalah membawa botol kecil untuk ke masjid dan di isi dengan air zam zam sebelum pulang ke hotel. Hargailah masa tatkala ianya ada di sekeliling kita.

– Ambil anggaran masa perjalanan dari hotel ke perkarangan Kaabah (lantai bawah) semasa perjalanan pertama anda ke Masjidil Haram. Dengan itu, kita dapat merancang perjalanan dari hotel ke masjid pada masa akan datang semasa berada di tanah suci dengan lebih tepat dan mengelakkan diri dari terlewat tiba di Masjidil Haram.

_DSC9654
Pemandangan rutin di jalan utama dari masjid ke Hotel Hera.

– Pada hari biasa musim umrah, hendaklah merancang untuk tiba di Gate utama masjid, seperti King Fahd Gate, sejam lebih awal dari waktu azan. Sekiranya kurang, kemungkinan besar pintu utama sudah di tutup, dan jemaah akan di susurkan ke tingkat 1 atau 2 masjid. Dan pada masa ini, tangga masuk di dalam masjid ke dataran lantai Kaabah juga mungkin telah ditutup dan jemaah hanya boleh pergi ke kawasan Mataf tengah (tingkat 1) atau Mataf atas (tingkat 2). Jika hari Jumaat, pastikan tiba 2 jam lebih awal. Jumlah jemaah akan bertambah ramai di Masjidil Haram bermula pada petang Khamis dan hari Jumaat.

– Tekadkan usaha untuk memastikan solat lima waktu di Masjidil Haram dan bukanya di bilik hotel. Ini kerana, solat di Masjidil Haram itu 100,000 kali lebih afdhal dari solat di masjid-masjid lain di dunia ini.

Dari Jabir r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Satu sambahyang dimasjidku lebih afdhal daripada 1,000 sembahyang di masjid-masjid yang lain, kecuali Masjidil Haram (dimekah): dan satu sembahyang di Masjidil Haram pula lebih afdhal daripada 100,000 sembahyang di masjid-masjid yang lain.

Lagipun, tujuan utama kita datang ke Makkah adalah untuk beribadah. Malahan, perjalanan kita untuk sampai ke Makkah bukanlah dekat, di mana perlu melalui ribuan kilometer dan berbelanja yang bukan sedikit untuk kita tiba di sini. Ganjaran yang dijanjikan Allah pula amatlah luas dan tidak terhitung. Jika di kira dari sudut akademik, bayangkan jika kita solat di masjid biasa, pahala penuh nya mungkin 27. Jika digandakan dengan 100,000 kali untuk satu waktu solat wajib di Masjidil Haram, maka kelebihan yang kita dapat adalah 2.7 juta. Banyak bukan? Dalam erti kata lain, kelebihan yang Allah berikan kepada orang yang bersolat di Masjidil Haram nyata TIDAK terhitung banyaknya. Marilah kita sama-sama memanfaatkan peluang yang telah Allah berikan kepada kita ini, Insya Allah.

_DSC9556
Burung merpati yang banyak terdapat di kota Makkah

– Perbanyakkan masa berada di Masjidil Haram. Jika hotel penginapan kita terletak agak jauh (lebih 150 meter dari masjid mungkin boleh di anggap jauh, kerana masa untuk berjalan kaki akan mengambil masa antara 10 – 20 minit, bergantung kepada jarak), tidak perlulah untuk berulang alik dari Masjid ke hotel setiap kali selepas waktu solat. Manfaatkan masa yang ada untuk tawaf sunat, sembahyang, membaca quran atau sekadar melihat kaabah. Semuanya akan mendapat pahala yang berganda-ganda dari Allah SWT.

Daripada Aisyah bahawa Rasulullah bersabda: “Melihat pada tiga perkara adalah ibadah. Melihat wajah ibu bapa, melihat al-Quran dan melihat lautan.” – (Riwayat Abu Nuaim) dan ditambah dengan
“Melihat Ka’abah”. (Riwayat Abu Daud).

Apa yang boleh dipraktiskan ialah, bangun seawal jam 2.30 pagi, dan bersiap-siap untuk ke Masjid. Pada pukul 3 pagi, bolehlah berjalan santai ke masjid, sambil ditiup dingin angin pagi yg menyegarkan. Tiba di masjid, pilihlah tempat yang sesuai dan jika ada, tempat yang paling dekat dengan Kaabah, di dataran. Sunat untuk tawaf dahulu 7 pusingan, sebelum meneruskan dengan aktiviti-aktiviti sunat yang lain seperti solat tahajjud, solat taubat, solat tasbih, solat hajat dll. Boleh juga membaca Al-Quran sementara menunggu masuk waktu solat subuh.

Selesai solat subuh, boleh lah bertawaf sunat sekali lagi, sementara menunggu masuk waktu dhuha, ataupun boleh sahaja pulang ke hotel terlebih dahulu untuk sarapan pagi, dan menyegarkan badan dengan mandi dll. Boleh juga berehat seketika atau tidur 1-2 jam sebelum bangun semula untuk ke masjid. Usahakan untuk tiba di masjid seawal 11 – 11.30 pagi (sejam sebelum zohor, 12.30 tgh hari) dan terus ke dataran kaabah. Bermula dari sinilah, kita boleh manfaatkan masa yang ada untuk berada di Masjidil Haram sebanyak mungkin; dan hanya pulang ke hotel selepas waktu Isyak. Makanan boleh sahaja di beli di gerai-gerai menjual makanan yang banyak terdapat di sekeliling perkarangan Masjid. Ianya lebih mudah, dan menjimatkan masa dari balik ke hotel yang perjalanan pergi dan balik nya sahaja memakan masa hampir 40 minit. Makan malam biasanya dihidangkan selepas Isyak di hotel. Kami biasanya makan malam di hotel dan tidak melengahkan untuk tidur selepasnya untuk memastikan badan cukup rehat dan mampu untuk bangun awal pagi, keesokan harinya. Begitulah rutin yang dapat kami kongsikan bersama. Namun, rutin ini mungkin tidak relevan untuk jemaah yang tinggal di hotel yang berdekatan dengan Masjid seperti Hilton dll yang mana, jarak untuk ke masjid hanya 3 minit sahaja. Tetapi konsep nya tetap sama, iaitu kurang kan masa di hotel, dan lebihkan masa di Masjid. Insya Allah, sama-samalah kita berusaha untuk mencari redha Allah SWT.

_DSC9620
Faheem yang teruja dengan telatah burung merpati yang banyak terdapat di sini.

– Untuk jemaah yang pertama kali datang mengerjakan Umrah, kebanyakkan akan mengikut program yang telah diaturkan oleh agensi seperti lawatan ke tempat-tempat bersejarah sekitar luar kota Makkah yang kemudianya di susuli dengan melakukan Umrah untuk kali kedua, tiga dan empat di tempat miqat yang berlainan (ada juga agensi yang mengatur program untuk jemaah dapat melakukan umrah sehingga 5 kali). Ianya tidak mengapa dan sudah menjadi program biasa buat jemaah-jemaah kita dari Malaysia.

Namun, jika datang menunaikan umrah untuk kali kedua atau lebih, pendapat saya tidak perlulah lagi untuk mengikuti program ziarah tempat-tempat berikut kerana ianya sama sahaja. Lebih baik memperuntukkan masa tersebut untuk berada di Masjidil Haram dan memperbanyakkan ibadah sunat yang lain seperti tawaf, solat, membaca quran dll. Melakukan umrah berulang kali dalam satu trip Umrah juga mempunyai pendapat yang berbeza di kalangan ulama.

Difatwakan oleh Syaikhul Islam Ibn Taymiyah al-Harani (Majmu’ Fatawa, 26/253-254) dan Ulama’ Besar Tanah Haram, Syaikh Muhammad bin Saleh al-Uthaimiin (Syarh al-Mumti’, 7/407). Ia dianggap makruh dan tidak disyari’atkan (yakni berulangalik mengerjakan umrah dgn keluar ke tanah halal berkali-kali) dengan sekali perjalanan umrah.

Dalilnya: al-Hafidz alFaqih Ibn al-Qayyim (Zaad al-Ma’ad, 2/86) menghitung umrah Nabi saw hanya 4 kali dalam sejarah hidup baginda. Setiap kali kunjungan ke Mekkah, baginda mengerjakan satu kali umrah sahaja. Umrah Hudhaibiyah tahun ke 6 H, umrah Qadhiyah tahun ke 7H, umrah Ji’ranah tahun ke 8 dan umrah terakhir pada Haji Wada’. (al-Zaad, ibid). Kata Syaikh Uthaimin, satu perjalanan valid utk satu umrah (Fatwa al-Uthaimin (2/668).

Sebaliknya, ibadah yg diutamakan semasa umrah ialah perbanyakkan tawaf.

Dalil Qur’ani: 2:125: “Dan bersihkan rumahku utk orang2 yang tawaf”. Dalil Hadith: Barangsiapa yg bertawaf rumah ini (Kaabah) 7X, laksana (pahala) membebaskan seorang hamba” (sahih An-Nasa’iy 2919).

Untuk kali ini, kami tidak menyertai program ziarah luar kota Makkah kerana telah pernah sampai ke tempat-tempat tersebut sebelum ini. Sebaliknya, kami hanya turut serta dalam program ke Muzium Haramain, Hudaibiah dan Jabal Al-Nour (Gua Hira’).

_DSC9561
Pemandangan bangunan sekitar Masjid Al-Haram

– Antara ibadah sunat lain yang dituntut ialah berpusa.

Daripada Aisyah r.a katanya : Adalah Rasulullah s.a.w bersungguh-sungguh dalam berpuasa pada hari isnin dan khamis.

Cubalah usaha untuk berpuasa samada hari Isnin atau Khamis, atau mengambil perluang jika ada mana-mana puasa sunat yang berkebetulan jatuh harinya semasa kita berada di Makkah. Ianya pasti menjanjikan pengalaman yang berbeza dengan kebiasaan kita berpuasa di tanah air. Pengalaman inilah yang akan senantiasa melekat di hati kita, tentang betapa nikmatnya berpuasa di sini. Ianya sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Cubalah. Kelebihan dan ganjaran pasti ada di sisi Allah SWT.

– Utamakan untuk solat di saf hadapan. Lazimnya, kita akan beranggapan bahawa saf-saf di hadapan sudah padat atau penuh dan pastinya tiada lagi tempat untuk solat lebih-lebih lagi jika tiba pada waktu hampir hendak memulakan sembahyang. Teori nya seakan-akan betul. Tetapi, yakinlah. Sentiasalah berdoa kepada Allah untuk memberi kita ruang untuk bersolat di hadapan. Insya Allah, bila tiba masanya, pasti ada sahaja ruang untuk kita bersolat di saf hadapan. Tetapi, pada masa yang sama, usahakan lah diri kita untuk tiba awal di masjid, kerana peluang untuk berada di saf hadapan adalah lebih cerah. Itulah aturan dan ketetapan kebiasaanya.

Jika diikutkan, banyak lagi tips dan amalan-amalan yang boleh di amalkan semasa berada di Makkah dan Masjidil Haram. Ianya boleh bersumber mungkin melalui maklumat-maklumat yang di dapati dari ahli keluarga atau sahabat yang pernah ke sana, ataupun dalam kursus-kursus Umrah atau Haji yang pernah di hadiri, dan juga daripada mutawwif sepanjang berada di tanah suci Makkah & Madinah. Namun, walau sebanyak manapun tips dan saranan yang ada, yang paling penting adalah pelaksanaan nya. Harapan saya adalah, moga sedikit info yang saya kongsikan ini dapat memberi sedikit manfaat kepada kita semua. Semoga ibadah kita diterima Allah SWT dan digolongkan dalam golongan yang mendapat umrah/haji mabrur, Insya Allah.

_DSC96912345
Pemandangan indah kota Makkah dari puncak Jabal Al-Nour, tempat di mana terletaknya Gua Hira’, tempat turunya wahyu yang pertama kepada Nabi Muhammad S.A.W

BONUS : Saksikan Video Umrah Makkah & Madinah yang sempat saya rakam sepanjang berada di sana. Moga Allah SWT menerima amalan kita semua, Insya Allah.

Facebooktwittergoogle_plusredditpinterestlinkedinmail

10 thoughts on “Kembara Tanah Suci : Makkah Al-Mukarramah”

  1. Salam,

    Saya telah ke tanah suci sebanyak 3 kali.

    Melihat gambar2 tuan sangat menyentuh perasaan dan mengembalikan nostalgia semasa saya di sana.

    TK

    1. Alhamdulillah. Moga perkongsian ini dapat menambahkan lagi keinginan kita semua untuk ke sana lagi. Insya Allah.

  2. Tahniah …Saya dapat banyak manfaat dari perkongsian ini,,,,Travelog Umrah pun amat baik…Mohon untuk dikongi dengan jemaah Umrah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *