Kembara Tanah Suci : Madinah Al-Munawwarah

Selain Makkah, sebuah lagi kota suci buat umat islam di bumi Saudi adalah Madinah. Juga di kenali sebagai Madinah Al-Munawwarah (bandar bercahaya), sesuai dengan statusnya dalam perkembangan Islam yang bermula dari penghijrahan Nabi Muhammad SAW, dan seterusnya berkembang pesat sebagai pusat pemerintahan Islam pada zaman baginda dan sahabat. Di sinilah juga terletaknya makam Nabi SAW dan menjadi sunnah yang dituntut ke atas kita yang tiba di Makkah untuk menjalankan ibadah umrah, turut sama menziarahi makam Nabi SAW yang dicintai.

Kesunnahan ziarah ke makam Rasulullah SAW juga didukung dengan Ijma (kesepakatan) para ulama salaf yang diakui. Ijma ini dikutip oleh ulama-ulama yang terpercaya. Qodhi Iyadh al Maliki dalam kitabnya Asyifa mengatakan, “Ziarah ke kubur Nabi SAW adalah satu sunah daripada sunah-sunah kaum muslimin yang disepakati dan satu keutamaan yang dianjurkan.”

Dalam kitab al Madkhal, Imam Ibnul Haj al Hanbali mengatakan, “Ibnu Hubairah menukilkan dalam kitabnya Ittifaq `aimmah (kesepakatan para imam): Bersepakat Imam Malik, Syafii, Abu Hanifah, dan Ahmad ra bahwa menziarahi makam Nabi SAW adalah sunnah. Abdul Haq dalam Tadzhib at Thalib mengutip dari Abi Imran al Fasi bahwa menziarahi makam Nabi SAW adalah wajib. Abdul Haq mengatakan bahwa yang dimaksud dengan wajib adalah sunnah yang sangat ditekankan.”

_DSC9788
Dataran luar masjid Nabawi.

Makam Nabi pada asalnya adalah di rumah baginda itu sendiri yang pada asalnya terletak bersebelahan dengan Masjid Nabi. Walau begitu, setelah projek pembesaran Masjid Nabawi, kini makam baginda termasuk di dalam bangunan masjid itu sendiri, dan boleh dikenali dari luar melalui kubah masjid yang berwarna hijau. Kubur dua lagi sahabat baginda, Sayyidina Abu Bakar & Umar Al-Khattab turut dimakam kan di tempat yang sama.

Perjalanan menaiki bas dari Makkah ke Madinah mengambil masa kurang lebih 6 jam dan kebiasaan nya bas akan berhenti rehat di suatu tempat yang di namakan Wadi Qudaid. Di sini ada terdapat restoran yang menyediakan masakan dari Yaman. Memang sedap; nasi mandi dengan lauk ayam bakar ataupun ikan pasti mampu membuatkan kita kenyang dan bertenaga semula untuk menyambung perjalanan berbaki lagi 4 jam ke Madinah.

_DSC9760
Pemandangan Masjid Nabawi dari pintu pagar utama ke masjid

Hari semakin larut malam, dan kami akhirnya tiba di kota Madinah pada jam 11.30 malam. Keadaan tidak berapa sesak, mungkin kerana sudah lewat malam dan aktiviti lalulintas juga sudah berkurang. Selesai urusan check-in di Hotel Mawaddah, kami terus ke bilik untuk membersihkan diri dan berehat seketika. Tiba sahaja di bilik, Faheem terus menyambung tidurnya yang terganggu seketika bila bas berhenti di hotel tadi. Nyenyak sungguh, mungkin terlalu penat mengharungi perjalanan jauh dari Makkah ke Madinah.

Hampir jam 1 pagi, saya dan isteri terus sahaja berjalan kaki menuju ke Masjid Nabawi yang terletak 150 meter dari hotel tempat kami menginap. Suasana sejuk dingin menerjah ke tubuh. Mujurlah ada sehelai jaket yang di bawa, guna untuk menahan kesejukan pagi. Jemaah tidak berapa ramai ketika ini. Kami terus menuju ke pintu As-Salam yang masih di buka waktu ini. Walau begitu, jemaah wanita tidak dibenarkan masuk kerana sudah melebihi waktu (jam 12 mlm). Isteri redha menunggu di luar, sementara saya masuk ke masjid melalui Babu As-Salam dan mengerjakan solat sunat tahyattul masjid. Usai solat, saya terus melawat makam Nabi SAW dan sahabat. Ketika ini, perasaan yang timbul amat sukar untuk diungkap dengan kata-kata. Biarlah hati yang merasai dan berbicara. Perasaan syukur ke hadrat Allah SWT yang tidak terhingga kerana diberi kesempatan untuk tiba di sini, dan berada di tempat yang sama di mana Nabi SAW suatu ketika dahulu pernah menjejak kan kaki. Ianya terkesan di hati.

_DSC9762
Masjid Nabawi

Kami berada di Madinah selama 4 hari 3 malam. Walaupun singkat, namun ianya mampu memberi kesan yang mendalam buat kami. Sedikit perkongsian tentang perkara dan amalan-amalan yang boleh dilakukan sepanjang berada di Madinah. Moga ianya memberi manfaat untuk kita bersama, dan dikira sebagai suatu amal soleh buat kita dalam usaha kita untuk mencari keredhaan Allah SWT dunia dan akhirat, Insya Allah.

– Elakkan dari bertangguh untuk melawat maqam Nabi SAW setelah tiba di kota Madinah. Seelok-eloknya, teruslah berjalan menuju ke masjid selepas membersihkan diri dan berehat seketika setelah mengharungi perjalanan jauh dari Makkah. Kenapa perlu bertangguh sedangkan jasad Nabi SAW hanya terletak kurang 200 meter dari kita?

– Di Madinah, terdapat banyak kedai-kedai menjual pakaian dll disekitar hotel penginapan, dan kebanyakannya terletak betul-betul di hadapan pintu utama hotel. Bukan larangan, tetapi sekadar saranan kepada kita untuk kurangkan menghabiskan masa di kedai-kedai membeli  belah. Sebaliknya lebihkanlah memperuntukkan masa yang berbaki untuk berada di dalam masjid Nabi SAW. Bukankah fadhilat bersolat di masjid nabi itu 1,000 kali lebih utama dari bersolat di masjid-masjid yang lain?

_DSC9754
Kedai jualan sekitar Madinah
_DSC9764
Pakcik penjual minyak wangi

Dari Jabir r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Satu sambahyang dimasjidku lebih afdhal daripada seribu sembahyang di masjid-masjid yang lain, kecuali masjidil Haram (dimekah): dan satu sembahyang di masjidil haram pula lebih afdhal daripada seratus ribu sembahyang di masjid-masjid yang lain.

– Sentiasa membawa botol minuman ke masjid untuk mengisi air zam-zam yang mudah didapati di dalam masjid. Ianya menjimatkan masa dari berulang alik ke tempat letaknya bekas-bekas air zam-zam dari tempat kita duduk di dalam masjid tersebut. Botol kecil berisi air zam-zam sudah memadai sebagai teman kita semasa duduk-duduk di masjid, sambil membaca al-quran, zikir atau sekadar menunggu masuknya waktu solat. Bila dahaga, minum sahaja dari botol tersebut. Pastinya tubuh akan terasa segar dan bertenaga kembali 🙂

_DSC9798
Pemandangan biasa di pagar luar masjid selepas waktu solat

– Tanamkan azam dan berusaha untuk bersolat di masjid, dan bukanya di hotel. Pastikan diri dan keluarga tiba awal di masjid. Jika di Makkah, ‘buffer time’ untuk sampai di masjid adalah 1 jam sebelum azan. Tetapi di sini, boleh lah untuk sampai di masjid setengah jam sebelum azan, tetapi sampai lebih awal adalah lebih baik lagi. Ini dapat memberi masa yang cukup untuk kita berada di saf hadapan yang sememangnya menjadi ketutamaan dalam solat berjemaah. Jika sekiranya, atas sebab tertentu kita terlewat dan hanya mula berjalan ke masjid dari hotel semasa azan mula berkumandang, jangan lemah semangat dan termakan dengan racun syaitan yang sentiasa akan membisikkan kononya kita tidak akan sempat tiba di masjid sebelum iqamat. Abaikan sahaja ‘racun’ tersebut. Teruskan berjalan menuju ke masjid. Kita pasti sempat tiba sebelum iqamat, bahkan sempat lagi untuk mencari ruang kosong di saf-saf hadapan. Ini kerana, di Madinah, masa antara azan dan iqamat kebiasaanya lebih dari 15 minit. Jika waktu subuh, ada kalanya hampir setengah jam. Jadi, apa alasan untuk tidak meneruskan perjalanan ke masjid, dan bersolat jemaah? Lupakan istilah bersolat di hotel. 1,000 keutamaan dan kelebihan hanya terletak kurang 200 meter dari tempat kita berpijak. Kenapa harus di sia-siakan? 🙂

_DSC9772
Bangunan hotel sekitar masjid nabawi.
_DSC9777
Hotel-hotel sekitar masjid nabawi.

– Raudah, merupakan tempat tumpuan utama bila kita berbicara tentang kelebihan beribadah di masjid nabawi. Raudah ialah kawasan yang terletak di antara rumah Nabi SAW dan mimbarnya. Kawasan ini mudah di kenali dengan warna karpetnya yang berwarna hijau muda, berbeza dengan kawasan lain di dalam masjid berwarna merah tua.

“Di antara kuburanku dan mimbarku terdapat taman (raudhah) di antara taman surga.” (Al-Mu’jam Al-Ausath, Thabrani, 2/120)

 Jadi, ramailah jemaah yang ingin berada di kawasan ini, samada untuk bersolat, membaca quran, berzikir dll ibadah yang membuatkan kawasan ini senantiasa sesak dengan para jemaah. Ji ka dilihat dengan mata kasar atau luaran, keadaanya memang begitu. Tetapi jika di teliti, Raudah sebenarnya sentiasa ada ruang untuk jemaah masuk. Bagaimana? Perhatikan ruang di antara saf. Jika ingin berdoa, masuk sahaja ke ruangan tersebut, dan berilah isyarat kepada jemaah yang ada di situ, yang menunjukkan kita ingin berdoa. Insya Allah, pasti akan diberi peluang. Dan berdoa tidak semestinya duduk. Jika sempit, boleh sahaja berdoa dalam keadaan berdiri, tiada masalah. Insya Allah, tidak lama pun, pasti ada ruangan untuk kita masuk dan menunaikan solat di situ, kerana jemaah kebanyakkanya akan keluar dari kawasan tersebut selepas mereka selesai beribadah di situ. Manfaatkan masa yang ada apabila ruang terbuka untuk solat sunat, berdoa, dll. Setelah selesai, segeralah bangun dan memberi tempat tersebut untuk jemaah lain pula beribadah. Insya Allah, bantu-membantu dalam perkara kebaikan itu amat dituntut dalam Islam dan pahala yg dijanjikan juga amatlah besar.

_DSC9740
Masjid Quba, Madinah
_DSC9736
Pelbagai jenis buahan dan makanan yang dijual sekitar Masjid Quba.

– Ambil kesempatan untuk melawat Masjid Quba, yang terletak tidak jauh dari Masjid Nabawi. Bayaran teksi yang di kenakan biasanya dalam SR15 sahaja sehala. Sabda Nabi SAW:

“Barangsiapa bersuci di rumahnya, kemudian mendatangi Masjid Quba, lalu ia shalat di dalamnya, maka baginya pahala seperti pahala umrah”. ( HR. Tirmizi no. 298. Ibnu Majah no. 1401).

– Di Madinah memang senang untuk mendapatkan buah-buah kurma yang bagus2 kualitinya. Kedai-kedai menjual kurma juga banyak terdapat di perkarangan luar pagar masjid. Jika berkesempatan, boleh lah singgah sekejap di kedai-kedai kurma ini dalam perjalanan ke masjid dan membeli sedikit buahan untuk di bahagi-bahagi kan kepada jemaah di masjid sebagai niat bersedakah. Ianya boleh di lakukan sebelum masuk waktu, mungkin antara maghrib dan isyak atau waktu-waktu lain yang dirasakan sesuai. Senang sahaja, hulurkan sahaja bekas yang berisi kurma itu kepada jemaah yang duduk bersebelahan dengan kita dan mintalah kepadanya untuk ‘pass’ kan bekas itu kepada jemaah-jemaah seterusnya. Sadakah, senang dan ringkas untuk dilaksanakan. Lebih bagus lagi jika dilaksanakan pada hari Isnin atau Khamis, sebelum masuk waktu maghrib kerana waktu ini, ramai yang sedang menunggu untuk berbuka puasa (sunat). Insya Allah, pahalanya pasti ada di sisi Allah SWT.

_DSC9780
Kehidupan di dunia adalah jalan untuk kita kembali semula ke tempat asal kita, iaitu Syurga.

Rasanya setakat ini dahulu buat masa ini, perkongsian ringkas dari saya berkenaan dengan perkara-perkara yang dapat di praktiskan semasa berada di tanah suci. Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan untuk terus beribadah kepada-Nya, dan menerima setiap amalan yang kita lakukan, seterusnya memberkati kehidupan kita di dunia dan akhirat.

‘La Haula Wala Quwwata Illa Billah’.

“Tiada daya dan kekuatan (untuk menolak sesuatu kemudaratan dan mendatangkan suatu yang manfaat) selain Allah SWT”

Moga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada yang sudi membacanya. Jika ada sebarang kesilapan, mohon di beritahu untuk diperbetulkan. Moga kita semua sentiasa dirahmati dan dilindungi Allah SWT.

Facebooktwitterredditpinterestlinkedinmail

4 thoughts on “Kembara Tanah Suci : Madinah Al-Munawwarah”

  1. Subhanallah Mekah dan Madinah adalah tempat yg terbaik bawa keluarga menghabiskan masa cuti Semoga Tuan sentiasa berada didalam Rahmat Ilahi Aamiin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *