Selesai bersarapan, kami memulakan sesi menjelajah sekitar Pulau Lagenda ini. Cuaca agak cerah dengan angin yang bertiup sepoi-sepoi membawa aroma dari pantai yang berdekatan. Kami memulakan perjalanan ke tempat pertama, Padang Matsirat yang terkenal dengan kawasan bersejarah yang dinamakan ‘Beras Terbakar’. Sampai sahaja di sana, tempat melawat rupanya masih belum di buka. Jam menunjukkan belum pukul 10 pagi. Haha, semangat kan, nak pergi tengok tepat ni. Kami sekadar singgah di depan pintu masuk, dan ambil gambar kemudian terus ke tempat yang berikutnya. Rupanya, kami dapat tahu yg beras yang terbakar hanya ada sedikit sahaja yg dipamerkan untuk pengunjung. Itupun dalam bekas telus cahaya untuk ‘display’ sahaja. Terbakar tak? Haha.
Kemudian, kami meneruskan perjalanan ke suatu kawasan jeti, yang berdekatan dengan stesen minyak PETRONAS. Di situ, kami sekadar berjalan-jalan di kawasan sekitar, tetapi tidak lama kerana cuaca agak panas dan peluh pun agak menitik juga laa, terutama kat anak-anak yang memang kuat berpeluh.
Destinasi seterusnya, kami menuju ke Langkawi Geopark yang terletak berhampiran dengan Oriental Village. Di sini, ada di sediakan perkhidmatan menunggang kuda untuk dewasa dan kanak-kanak.
Tetapi, hasrat untuk anak-anak menunggang kuda terpaksa di tangguh kerana waktu menunggu yg terlalu lama. Ini kerana, sekumpulan pelancong ‘asia tengah’ yang sampai sebelum kami, semuanya ingin naik kuda di sini. Macam lah kat negara diorang takde. Err..ke memang takde? (Kuda dlm gambar di atas, tiba-tiba terlepas dari kandang dan berlari ke sana sini. Mujurlah pada ketika itu, kami baru beredar dari pintu kandang menuju ke kereta)
Kami seterusnya meneruskan perjalanan ke Taman Buaya. Di sini, pelbagai spesis buaya ada di pamerkan, dan jika kena pada waktunya dapatlah menonton pertunjukkan buaya di taman ini. Lagak ngeri juga kerana ada aksi memasukkan tangan kedalam mulut buaya yang sedang ternganga. Kebetulan aksi pada kali ini adalah yang ke-50 kali memasukkan tangan ke dalam mulut buaya.
Kami berada di taman buaya ini hampir dua jam juga. Mana tak nya, semua tempat budak-budak nih nak pusing tengok. Maklumlah, metabolisma masing-masing masih tinggi dan tenaga masih banyak jika nak di bandingkan dengan ibu dan ayah yang bila jalan sikit jer dah semput, haha. Amat laa tidak ‘fit’ nak bersaing ngan anak-anak.
Selesai aktiviti di Taman Buaya, kami berpatah balik kek kawasan berdekatan Petronas Quay (yang ada jeti dan kapal-kapal layar tuu!) iaitu Pantai KOK. Di sini, ada rojak terkenal yang di kenali dengan nama ‘Hafiz Rojak’. Dua buah van yang bertukar menjadi gerai ini terletak betul-betul di tepi pantai. Beberapa meja di letakkan di bawah pokok, memang menyerlahkan suasana santai untuk makan. Antara makanan yang terkenal adalah rojak, nasi lemak, laksa dan lain-lain. Memang sedap, ‘belasah’ nasi lemak dan juga rojak, untuk mengisi perut tatkala waktu puncak kelaparan menerjah (tengah hari, hehe).
Selesai ‘lunch’ di tepian pantai yang indah, kami terus singgah di salah sebuah masjid yang berdekatan untuk solat Jumaat. Saya dan Faheem pergi menunaikan kewajipan, manakala isteri dan anak-anak kecil menunggu di kereta sambil berehat. Selesai solat dan membeli sedikit barang-barang keperluan di kedai runcit yang berdekatan, kami terus menuju ke Oriental Village. Kawasan ini juga adalah tempat untuk menaiki kereta kabel yang terkenal di Langkawi tu.
Sementara menunggu isteri pergi solat, saya bersama anak-anak terus masuk ke kawasan kampung buatan tersebut. Kami terus sahaja menuju ke kedai yang menyediakan perkhidmatan menunggang kuda. Haha, nampaknya misi menunggang kuda akhirnya terlaksana juga hari ini.
Setelah selesai pusing-pusing sekitar perkampungan, kami terus ke kaunter membeli tiket untuk menaiki kereta kabel Langkawi yang ‘femes’ tuu. Nak juga tengok pemandangan pulau dari atas bukit yang tinggi…woooo!
Kami berada di atas kurang lebih setengah jam juga untuk menikmati pemandangan yang jarang-jarang sekali dapat di saksikan. Jadi, apabila sampai biasanya saya akan mengambil masa sedikit untuk meninjau kawasan sekitar dan mengambil gambar-gambar di ‘spot-spot’ yang dikira menarik pada pandangan mata. Setelah puas, kami sekali lagi menaiki kereta kabel untuk turun kembali ke bawah.