Seingat saya, kali terakhir saya menjejakkan kaki ke Pulau Langkawi adalah waktu saya berusia 8 tahun. Pada ketika itu, kami lima beradik, bersama ibu & ayah telah Berjaya sampai ke pulau yang penuh dengan tempat-tempat bersejarah itu. Kami bermalam di sana selama dua malam, selepas menempuh perjalanan yg jauh, dari Kelantan, singgah bermalam di Terengganu, singgah bermalam di Kuantan sebelum terus ke utara.
Bulan APRIL tahun ini, Alhamdulillah sekali lagi saya menjejakkan kaki ke pulau tersebut. Kali ini bersama dengan keluarga sendiri pula. Anak sulung kami berusia 7 tahun, yang tengah 4 tahun manakala yg bongsu hampir masuk 2 tahun. Kenangan lalu kembali menerjah di benak kepala. Namun, gambaran sewaktu berada di pulau ini waktu kecil dahulu kurang jelas. Mungkin waktu itu masih kecil dan focus utama hanya nak bermain sahaja. Hehe.
Baiklah, kami sekeluarga tiba di Langkawi, kurang lebih pukul 4 ptg selepas menaiki ferry dari Kuala Perlis, yg memakan masa dalam 45 minit. Kereta di tinggalkan di kawasan parking Jeti Kuala Perlis, dengan bayaran RM10 sehari. Sebenarnya, masuk sahaja ke kawasan jeti, ada sahaja ‘brader-brader’ yg menaiki motor menghampiri kereta kita dan mengajak kita untuk ‘parking’ di tempat mereka beroperasi. Ada pelbagai rate yg ditawarkan. Jadi, atas kepandaian kitalah pula untuk ‘nego’ harga yg murah untuk mendapatkan tempat yg terbaik, samada berbumbung atau berjemur tgh panas.
Suasana cerah, angin bertiup perlahan membawa udara laut ke pipi. Baunya sinonim. Suasana tepian pantai. Urusan mendapatkan tiket feri dan mengangkut bag berjalan lancar. Kami menyewa kereta selama 4 hari berada di pulau untuk memudahkan pergerakan kami sekeluarga. Alhamdulillah, dapat kereta Volkswagon POLO pada harga RM60 sehari dengan keadaan kereta yang masih baru.
Selesai urusan mengambil kereta sewa, kami terus menuju ke hotel untuk check-in. Kali ini kami menginap di Lanai Hotel, yg terletak bersebelahan dengan Pantai Chenang. Berpandukan peta yg di beli dengan harga seringgit di kaunter kereta sewa tadi, kami mencari arah menuju ke hotel. Telefon pula habis bateri, dan yang menariknya, ‘car charger’ pula tertinggal dalam kereta kami di Jeti Kuala Perlis. Hehe, memang mencabar proses mencari hotel, kerana kami mmg tidak biasa dengan kawasan pulau ni. Tapi, anak sulung kami Faheem memang teruja bila dapat peta. Tetiba sahaja melantik diri sendiri sebagai pemandu arah. Ikutkan ajer lah, janji dia bahagia.
Setengah jam kemudian kami tiba di kawasan pantai, dan menyusuri hotel-hotel yang banyak ditepi jalan. Kawasan persekitaran memang bersih, dan rasa teruja juga kerana Langkawi ini begitu terjaga dari segi kebersihanya. Hotel Lanai ni terletak paling hujung pesisiran pantai. Setibanya di lobi hotel, kami dapat simpulkan yang ianya sebuah hotel yang agak lama, dari segi hiasan perabut, dan ‘design’ bangunan hotel itu sendiri. Agak ringkas, dari segi keperluan asas semuanya ada, termasuk kolam renang yang agak luas. Bilik hotel seperti baru di ‘naik taraf’ tetapi bau kayu lama dari perabut asal masih berjaya ‘mencuit’ hidung kami sewaktu kali pertama masuk kebilik. Biliknya agak bersih juga, peralatan yg ada sekadar cukup keperluan tetapi menepati standed hotel bertaraf 3 bintang. Tidak mengapa, lagipun tujuan ke sini bukan untuk bersantai di hotel pun. Banyak tempat yg harus dilawati sementara berada di pulau ini.
Selesai membersihkan diri dan anak-anak, saya membawa Faheem dan Nuha untuk mengambil angin di tepi pantai. Nida ditinggalkan bersama ibunya untuk menyusu dan rehat. Nampak penat dan mengantuk setelah mengharungi perjalanan yang panjang.
Kami tiga beranak, berjalan-jalan di tepi pantai. Pantai ini dinamakan Pantai Tengah, yg bersambung dengan Pantai Chenang yg terkenal. Kawasan tepian pandai amat bersih, dengan pasir halus yang memutih, membuatkan Faheem dan Nuha teruja dan begitu gembira menghabiskan masa bermain. Saya pula berjalan sepanjang pantai tersebut, sambil membawa dua kamera untuk merakam pemandangan indah sekitar pantai. Fuji X100, dengan lensa tetap untuk mengambil gambar aksi anak-anak dan D90 dengan lensa 10-24mm untuk merakam keindahan pemandangan sekitar.
Cuaca cerah yang kemudian beransur hening, menjunjukkan waktu untuk terbenamnya matahari telah tiba. Ketika ini, sinar emas jelas kelihatan di kaki langit, menyinari langit yang luas dengan corakan awan yg nipis. Ianya pemandangan yg begitu indah yang tidak rela dilepaskan begitu sahaja oleh kamera di tangan. Jari terus memetik butang ‘shutter’ tanpa henti sambil barjalan pulang ke hotel menyusuri pantai yg bercahaya keemasan. Sungguh cantik sekali, ciptaan Ilahi untuk kita makhluk menikmati dan berfikir tentang kebesaran-Nya. Masha Allah, hanya ungkapan yang mampu diucapkan tika itu.
Tiba di hotel, kami bersiap pula untuk makan malam di restoran Thai berdekatan hotel. Kali ini kami bersama dengan rakan sekerja isteri saya dan keluarga mereka yg turut sama dalam percutian ini. Nak kata percutian penuh, tidak juga kerana esoknya mereka akan mengadakan ‘workshop’ untuk kerja-kerja penganjuran pertandingan computing yang akan berlangsung nanti. Jadi, kami kira ianya percutian keluarga, yang di campur sedikit dengan urusan kerja yang dilakukan secara SANTAI. Tiada tekanan, dan masa bersama keluarga menjadi KEUTAMAAN.
Restoran ini agak menarik juga, dengan dekorasi yang santai dan unik untuk menarik pelanggan. Komen2 pelanggan terdahulu ‘diframekan’ untuk tatapan pengunjung. Kiranya sebagai testimoni. Betul, ianya kena dengan rasa lauk yang dihidangkan. Alhamdulillah. Memang sedap dan menyelerakan. Usai makan, kami pulang ke bilik untuk berehat dan merancang perjalanan untuk hari kedua berada di sini.
Hi, this is a comment.
To delete a comment, just log in and view the post's comments. There you will have the option to edit or delete them.